fb fb fb fb fb

Perancis akan hantar jentera AMX-10 ke Ukraine minggu depan

(FOTO HIASAN)

PARIS, 19 Februari- Perancis akan mula menghantar kenderaan perisai yang telah dijanjikan kepada Ukraine dalam perangnya menentang Rusia pada hujung minggu depan.

Jentera jenis AMX-10 dan kadangkala digambarkan sebagai "kereta kebal ringan", digunakan untuk peninjauan bersenjata dan serangan ke atas kereta kebal musuh.

Jentera pertama akan dihantar ke Ukraine akhir minggu depan, Menteri Pertahanan Sebastien Lecornu memberitahu akhbar Le Parisien edisi Ahad.

Bagaimanapun, dia enggan menyatakan jumlah jentera dalam kumpulan pertama, kerana tidak mahu memberi Rusia sebarang maklumat strategik.

Menurut kementerian pertahanan Perancis, AMX-10 sangat mudah alih, kukuh dan menawarkan perlindungan daripada tembakan infantri ringan.

Berat jentera tersebut ialah 20 tan, kira-kira satu pertiga daripada kereta kebal Leclerc Perancis.

Angkatan bersenjata Perancis telah mula menggantikan AMX-10, pertama kali dibangunkan pada 1970-an, dengan jentera yang lebih moden dipanggil Jaguar.

Presiden Emmanuel Macron berjanji pada awal Januari bahawa Perancis akan menghantar AMX-10, selepas berbulan-bulan teragak-agak kerana bimbang peningkatan penghantaran senjata boleh meningkatkan lagi konflik dengan Rusia bersenjata nuklear.

Latihan kru Ukraine pada AMX-10 kini hampir selesai, kata Lecornu.

Bermula Mac, 600 tentera Ukraine akan menjalani latihan setiap bulan, katanya.-AFP


(FOTO HIASAN)

Media Baharu