BANGKOK, 4 Jun- Kerajaan Thailand mengulangi komitmennya untuk menyelesaikan isu sempadan dengan Kemboja melalui usaha damai mengikut undang-undang antarabangsa serta perjanjian dan memorandum yang berkaitan.
Dalam satu kenyataan rasmi pada Rabu, Kerajaan Diraja Thailand memaklumkan usaha penyelesaian termasuk menerusi Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC) dan Jawatankuasa Sempadan Am (GBC).
"Komitmen ini berdasarkan undang-undang antarabangsa, perjanjian berkaitan seperti Memorandum Persefahaman mengenai Tinjauan dan Penetapan Garisan Sempadan Darat (MoU 2000), serta bukti sokongan seperti imejan satelit," menurut kenyataan itu.
Merujuk kemungkinan Kemboja mengambil tindakan undang-undang atau menggunakan pengantaraan pihak ketiga dalam isu itu, Thailand menyatakan bahawa sebagai jiran terdekat, pihaknya tetap komited untuk menyelesaikan isu dua hala melalui kaedah damai.
Kenyataan itu turut memaklumkan sebagai respons kepada permintaan Thailand, Kemboja bersetuju untuk menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat JBC pada 14 Jun ini.
Kerajaan Thailand turut memberi jaminan kepada rakyatnya bahawa semua agensi berkaitan sedang berusaha bersungguh-sungguh mengikut proses yang sewajarnya bagi melindungi kedaulatan dan hak perundangan negara.
Thailand turut memaklumkan bahawa situasi di sepanjang sempadan Thai-Kemboja ketika ini kekal tenang.
Kerajaan menyatakan keyakinan bahawa kedua-dua negara dapat menyelesaikan isu ini berasaskan prinsip kejiranan yang baik, keselamatan dan kesejahteraan komuniti sempadan serta nilai bersama dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Thailand turut menggesa Kemboja agar bekerjasama untuk mengekang ketegangan di lapangan, menyalurkan maklumat yang tepat kepada orang ramai, serta mengelakkan salah faham antara rakyat kedua-dua negara.
Pada Rabu lalu, pasukan tentera Thailand dan Kemboja terlibat dalam pertempuran singkat di wilayah timur laut Ubon Ratchathani, Thailand dan wilayah utara Preah Vihear, Kemboja. Seorang askar Kemboja dilaporkan maut.
Kemboja pada Isnin menyuarakan hasrat untuk membawa pertikaian sempadan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi menyelesaikan isu berlarutan itu.-BERNAMA