SEOUL, 4 Jun- Presiden Korea Selatan yang baharu, Lee Jae-myung berikrar untuk memulihkan ekonomi susulan krisis undang-undang tentera sebelum ini.
Ekonomi negara itu terjejas akibat pertumbuhan perlahan serta ancaman perlindungan ekonomi global.
Kemenangan Jae-myung dijangka membawa perubahan besar seiring kuasa ekonomi keempat terbesar di Asia.
"Kerajaan di bawah pimpinan saya akan menjadi kerajaan pro-pasaran yang pragmatik. Antara isu ekonomi mendesak lain yang akan menjadi tumpuan ialah kos sara hidup yang membebankan golongan berpendapatan sederhana dan rendah serta masalah yang dihadapi peniaga kecil," katanya selepas mengangkat sumpah jawatan di Bangunan Dewan Negara pada pukul 11:00 pagi waktu tempatan.
Jae-myung juga perlu menumpukan kepada tarikh akhir bagi rundingan cukai import yang ditetapkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Di samping, berusaha meredakan kesan tarif berat seperti diumum Washington yang menjejaskan beberapa industri utama Korea Selatan termasuk automotif dan keluli.
Jae-myung, calon dari Parti Demokratik memenangi pilihan raya setelah meraih 49.42 peratus undi.
Beliau yang merupakan bekas peguam hak asasi manusia, menewaskan pencabarnya dari Parti Kuasa Rakyat, Kim Moon-soo yang memperoleh 41.15 peratus.
Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan menyatakan pilihan raya itu merekodkan kadar keluar mengundi tertinggi sejak tahun 1997.-REUTERS