fb fb fb fb fb

Britain tidak bercadang naikkan cukai

Foto REUTERS

ENGLAND, 4 Jun- Britain tidak bercadang mengumumkan kenaikan cukai belanjawan pada skala yang serupa dengan kenaikan yang diperkenalkan ketika pembentangan belanjawan tahun lepas.

Menteri Kewangannya, Rachel Reeves menyatakan lebih ramai pesara bakal menerima bayaran bahan api musim sejuk.

Tindakan 'pusingan-U' itu dilakukan kerajaan setelah pemotongan bayaran berkenaan terhadap warga emas menerima kritikan secara meluas.

"Kami membuat keputusan dalam belanjawan tahun lepas untuk meningkatkan cukai sebanyak £40 bilion. Saya sama sekali tidak berniat untuk mengulangi belanjawan pada skala itu lagi memandangkan kerajaan terdahulu meninggalkan kesan buruk £20 bilion dalam kewangan awam.

"Jadi saya terpaksa mengambil tindakan segera untuk meletakkan kewangan awam kita pada kedudukan yang lebih kukuh," katanya.

Tahun lepas, pihaknya terpaksa membuat keputusan sedemikian untuk memulihkan kewangan awam.

Antaranya, melibatkan beberapa keputusan sukar meliputi kebajikan, percukaian dan juga perbelanjaan awam, termasuk bayaran bahan api musim sejuk, yang hanya diberikan kepada pesara termiskin dan mereka yang mendapat pencen.

"Bagaimanapun, tahun ini, kewangan awam berada pada kedudukan yang lebih kukuh untuk memenuhi keperluan rakyat dan belanjawan mengenainya akan dibentang Oktober depan," katanya dalam sidang media.-REUTERS

NORAINI BINTI WAHIB