GAZA CITY, 4 Jun- Dua jam menunggu bagi mendapatkan makanan untuk cucunya di dapur sup di Gaza City.
Bagaimanapun, seorang nenek, Zeinab Abed, 69, pulang dengan hampa.
"Apa yang anak-anak akan makan? Bagaimana mahu teruskan kehidupan tanpa makanan?," keluh Zeinab, sambil berjalan pergi dengan periuk kosong.
Kembali ke dalam khemah, anaknya Ataya, 39, terpaksa memasak nasi yang selama ini disimpan (jika keadaan bertambah buruk) untuk empat anaknya.
Ataya berkata dia tidak cuba untuk mendapatkan bantuan daripada pusat pengedaran kerana risiko yang menanti termasuk terpaksa 'bersabung nyawa' kerana tembakan rambang tentera Israel.
Tentera Israel pula mendakwa terpaksa melepaskan tembakan ke arah sekumpulan orang yang dilihatnya sebagai ancaman berhampiran tapak pengedaran bantuan makanan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).
Bagaimanapun GHF berkata kejadian itu "jauh di luar" tapaknya.
Pakar menegaskan seluruh penduduk Gaza menghadapi risiko kebuluran jika keadaan itu berterusan.
Proses pengagihan bantuan berkenaan dilancarkan untuk lebih dua juta penduduk Gaza di tengah-tengah serangan baharu tentera Israel sejak akhir bulan lalu.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan bantuan lain berkata model bantuan itu menggunakan pekerja keselamatan dan logistik swasta Amerika Syarikat (AS).
Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah berkata sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera.
Dalam pada itu, GHF yang disokong AS tidak akan menghulurkan sebarang bantuan pada Rabu (4 Jun) selagi Israel berjanji untuk menjamin tahap keselamatan orang awam di luar perimeter tapak pengedarannya.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, perang sejak Oktober 2023 menyaksikan kempen ketenteraan Israel telah membunuh lebih 54,000 rakyat Palestin.
"Israel tidak membezakan antara pejuang dan bukan pejuang. Orang awam telah menanggung beban serangan serta beribu-ribu lagi mayat telah hilang di bawah runtuhan," katanya.- REUTERS