fb fb fb fb fb

Korban gempa bumi Turkiye-Syria cecah 46,000 orang

ANTAKYA/KAHRAMANMARAS, 20 Februari - Usaha mencari dan menyelamat kesemua mangsa gempa di Turkiye telah dikurangkan selepas hampir dua minggu tragedi bencana alam itu melanda negara tersebut.

Menurut salah seorang pengendali jentolak, Akin Bozkurt berkata mereka tetap berusaha mencari jasad kesemua mangsa agar dapat diserahkan kepada keluarga mereka.

Akin yang sedang mencari mangsa menggunakan jentolak di sebalik bawah runtuhan sebuah bangunan di bandar Kahramanmaras berkata, keluarga-keluarga mangsa juga sedang menunggu jasad mangsa untuk dikebumikan.

"Keluarga-keluarga mereka sedang menunggu penuh harapan. Mereka mahu mengadakan upacara pengebumian. Mereka ingin (mangsa) dikebumikan," kata Bozkurt.

Ketua Penguasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD), Yunus Sezer, berkata, sebahagian besar operasi mencari dan menyelamat mangsa akan berakhir pada Ahad malam.

Lebih 46,000 orang terkorban sejak gempa bumi kuat menggegarkan Turkiye dan Syria pada 6 Februari lalu, lapor Reuters.

Angka itu dijangka akan terus meningkat, dengan sekitar 345,000 bangunan kediaman di Turkiye dipercayai musnah dan terdapat masih ramai yang dilaporkan hilang.

Turkiye dan Syria bagaimanapun belum lagi mendedahkan jumlah sebenar penduduk yang masih dilaporkan hilang susulan gempa bumi itu.

Selepas 12 hari gempa bumi melanda wilayah itu, pasukan penyelamat kini sudah mula menggunakan tangan mereka untuk mencari mangsa yang terkorban di bawah runtuhan pada Sabtu di Antakya.

(Mangsa yang terselamat tinggal di khemah sementara di Antakya/FOTO REUTERS)

Anjing pengesan K9 dan kamera yang menghasilkan serta mengesan haba menunjukkan dua orang terselamat, kata petugas penyelamat.

Namun selepas tengah malam, setelah lapan jam operasi dilancarkan pasukan itu terpasa menghentikan operasi mencari dan menyelamat. 

"Tiada seorang pun yang masih hidup dan saya fikir kita tidak boleh menyelamatkan orang lagi," kata Mujdat Erdogan yang juga merupakan anggota pasukan AFAD.

Anggota keselamatan Kyrgyzstan cuba menyelamatkan lima sekeluarga dari Syria di bawah runtuhan sebuah bangunan di Antakya di selatan Turkiye.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira 26 juta orang di Turkiye dan Syria memerlukan bantuan kemanusiaan.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken dijangka tiba di Turkiye pada Ahad untuk membincangkan bagaimana Washington boleh membantu Ankara yang sedang bergelut dengan kesan bencana alam paling dahsyat dalam era moden.

Di Syria pula melaporkan lebih 5,800 nyawa terkorban.

Program Makanan Dunia (WFP) menyatakan, pihak berkuasa di barat laut negara itu menyekat akses ke kawasan tersebut.

"Sekatan itu mengganggu operasi kami dan harus diselesaikan segera," kata Pengarah WFP David Beasley kepada Reuters di Persidangan Keselamatan Munich. - Reuters

Media Baharu