fb fb fb fb fb

Penyakit kaki dan mulut di Indonesia berisiko jejaskan sektor agrikultur New Zealand

WELLINGTON, 25 Julai- New Zealand memberi amaran penularan penyakit kaki dan mulut di Indonesia, boleh menjejaskan lebih 100,000 pekerja di negara itu. Ini terutama pekerja dalam sektor agrikultur. Amaran itu dibuat Perdana Menteri, Jacinda Ardern.

Katanya, penyakit tersebut yang mula dikesan di Indonesia, April lalu boleh memberi kesan yang ketara kepada ekonomi bagi negara seperti New Zealand.

Negara itu, mengeksport kira-kira 17 juta kambing biri-biri dan dua juta ekor lembu dalam tempoh lapan bulan sehingga Mei lalu.


(Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern/AFP)

Sehubungan itu, Wellington akan bekerjasama dengan Australia bagi mengurangkan risiko penularan.

Kedua-dua negara kini meningkatkan kawalan keselamatan barang makanan di sempadan dengan Indonesia.

Pengembara dari Indonesia juga tidak dibenar membawa produk berasaskan daging ke negara itu.

Sementara itu, di Australia, bungkusan dan bagasi dari China dan Indonesia, akan diperiksa, selain meletakkan alas kaki pembasmi kuman di lapangan terbang.

Canberra setakat ini menolak gesaan pembangkang untuk menutup sepenuhnya pintu sempadan dengan Indonesia.

Penyakit kaki dan mulut menular di dua wilayah Indonesia, mengorbankan ribuan ternakan lembu dan menjangkiti ratusan ribu yang lain.

Media Baharu