fb fb fb fb fb

Penutupan lintasan bantuan Syria akan membawa 'malapetaka': PBB

(Mark Cutts/Google)

BEIRUT, 6 Julai- Penutupan koridor bantuan kemanusiaan terakhir dari Turkiye ke kawasan yang dikuasai puak pemberontak di barat laut Syria akan membawa malapetaka kepada berjuta-juta penduduk.

Amaran itu dikeluarkan Timbalan Penyelaras Kemanusiaan Serantau Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk krisis Syria, Mark Cutts.

"Ini adalah salah satu populasi paling rentan di seluruh dunia. Adalah penting laluan itu terus dibuka agar bantuan dapat disalurkan kepada salah satu populasi yang paling terdedah kepada bahaya di dunia," kata beliau.

Cutts menyatakannya menjelang undian Majlis Keselamatan PBB yang dijangka esok bagi memperbaharu kebenaran untuk badan dunia itu menyalurkan bantuan melalui lintasan Bab al-Hawa sebelum mandatnya tamat pada 10 Julai.

Lebih 4,600 trak bantuan, yang kebanyakannya membawa makanan, telah menghantar bantuan kepada kira-kira 2.4 juta orang tahun ini, kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB.

“Kami tahu perkara tahun ini lebih dipolitikkan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Ketegangan sangat tinggi dengan perang di Ukraine," kata Cutts kepada AFP.

Rusia, sekutu Damsyik, telah mencadangkan draf melanjutkan kebenaran selama enam bulan, sumber diplomatik di New York berkata, manakala Ireland dan Norway telah mencadangkan tempoh satu tahun.

Rusia telah pun memaksa pengurangan bilangan lintasan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan alasan bahawa akses itu melanggar kedaulatan Syria.

Jika cadangan Rusia, yang akan mengehadkan penglibatan jangka panjang PBB dan NGO di Syria, tidak disokong, Moscow boleh menggunakan kuasa vetonya untuk menyekat sepenuhnya misi kemanusiaan menggunakan laluan berkenaan.

Cutts memberi amaran bahawa "kegagalan untuk memperbaharu resolusi ini akan menjadi malapetaka. Tiada alternatif yang tersedia pada masa ini yang boleh menggantikan skala atau skop apa yang sedang dilakukan oleh PBB."

(FOTO AFP)

Keperluan kemanusiaan Syria telah mencapai tahap tertinggi sejak bermulanya konflik berdarah pada 2011 yang telah meragut hampir setengah juta nyawa dan memaksa lebih separuh daripada penduduk meninggalkan kediaman mereka.

Kira-kira 13.4 juta orang di seluruh Syria memerlukan bantuan tahun lalu, meningkat daripada 11.1 juta pada 2020, kata OCHA.

Resolusi PBB yang membenarkan penghantaran bantuan merentasi sempadan Syria-Turki di Bab al-Hawa telah berkuat kuasa sejak 2014.

Wilayah barat laut yang dikuasai pemberontak Syria adalah tempat tinggal kepada lebih empat juta orang, yang kebanyakannya kehilangan rumah dan hidup dalam kemiskinan.

Kumpulan bantuan sedang mempertimbangkan alternatif sekiranya berlaku veto Rusia, pegawai bantuan memberitahu AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Ia termasuk meningkatkan penghantaran melalui Damsyik dan meneruskan penghantaran rentas sempadan melalui konsortium kumpulan bantuan antarabangsa. -AFP

Media Baharu