(Filipina adalah antara yang terakhir menyambung kelas sepenuh masa, secara bersemuka sejak pandemik COVID-19/AFP)
MANILA, 6 Julai- Filipina akan membuka semula sepenuhnya semua sekolah pada November ini selepas lebih dua tahun, kata Presiden Ferdinand Marcos Jr pada Selasa.
Pengumuman dibuat ketika pakar memberi amaran tentang krisis pendidikan yang semakin meningkat susulan pandemik COVID-19.
Filipina adalah antara negara terakhir yang menyambung semula kelas secara bersemuka sepenuh masa sejak wabak itu bermula, dengan sekolah ditutup pada Mac 2020 seiring pelaksanaan sekatan pergerakan.
Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran bahawa penutupan sekolah menyebabkan kerugian besar dalam pendidikan di seluruh dunia, dengan beberapa negara lambat membuka semula bilik darjah walaupun kadar vaksinasi meningkat.
"Kami mempunyai rancangan untuk membuka semula sesi persekolahan bersemuka penuh menjelang November tahun ini," kata Marcos dalam sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai pemimpin negara.
"Mari kita selesaikan perkara ini dengan cepat. Sudah tentu kami berhati-hati tetapi kami sentiasa mahu cepat kerana kami perlu menyelesaikan banyak perkara dalam masa yang singkat," katanya.
Marcos berkata pembukaan semula sekolah akan dilaksana secara berperingkat bermula September, disertai dengan kempen vaksinasi.
(Sesi persekolahan bersemuka sepenuhnya di Filipina November depan/AFP)
Kira-kira 64% daripada 110 juta penduduk negara itu telah diberi vaksin sepenuhnya.
Setiausaha Agung Perikatan Guru Prihatin, Raymond Basilio menyambut baik pengumuman kerajaan baharu.
“Guru-guru kami telah melihat kehilangan pembelajaran yang teruk sejak 2020 yang memburukkan lagi kemiskinan,” katanya.
Basilio berkata beberapa guru dalam persatuan itu mengadu bahawa sebilangan pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah masih tidak boleh membaca atau menulis.
Beliau memberitahu AFP program pembelajaran "campuran" kerajaan melibatkan kelas dalam talian, bahan bercetak dan pelajaran yang disiarkan di televisyen dan media sosial adalah "bermasalah".
Modul tidak disemak dengan baik dan anak muda Filipina mempunyai akses internet yang terhad, katanya.
Laporan yang diterbitkan bersama bulan lalu oleh UNICEF dan agensi lain berkata wabak itu telah meningkatkan "kemiskinan pembelajaran" sebanyak satu pertiga di negara berpendapatan rendah dan sederhana, dengan dianggarkan 70% kanak-kanak berumur 10 tahun tidak dapat memahami teks bertulis yang mudah.
Pada November tahun lalu bekas presiden Rodrigo Duterte membenarkan kanak-kanak kembali ke bilik darjah di hanya 100 daripada lebih 61,000 sekolah, tetapi menolak penyambungan penuh sebelum penggalnya berakhir bulan lepas, atas faktor risiko kesihatan. -AFP