fb fb fb fb fb

Penunjuk perasaan pro-Palestin bertempur dengan polis di Universiti Amsterdam

Pelajar pro-Palestin di Universiti Amsterdam (UvA) berdepan dengan pegawai polis menggunakan alat pemadam api, ketika mereka meneruskan protes menyeru universiti itu memutuskan semua hubungan dengan Israel kerana serangan tenteranya di Gaza/ AFP

THE HAGUE, 9 Mei- Polis rusuhan Belanda di sini, bertempur dengan penunjuk perasaan pro-Palestin ketika anggota keselamatan itu sedang berusaha membuang penghadang di Universiti Amsterdam, tempat pergolakan sejak Isnin lalu.

Polis memaklumkan mereka menahan 32 orang pada tengah malam tadi kerana `keganasan, pemusnahan, serangan dan hasutan' di universiti itu dan di sebuah jalan besar di tengah-tengah ibu kota Belanda.

Imej televisyen tempatan menunjukkan puluhan anggota polis berbalas pukulan dengan sekumpulan penunjuk perasaan ketika pegawai membersihkan kawasan di hadapan bangunan Binnengasthuis di pusat bandar Amsterdam.

Polis berkata, penunjuk perasaan kemudian menyekat sebuah jalan utama tempatan yang dipanggil Rokin yang mana keganasan turut tercetus dan penunjuk perasaan dikatakan `melempar ammonia ke arah polis rusuhan'.

Pelajar menuntut Universiti Amsterdam (UvA) memutuskan hubungan dengan Israel susulan perang di Gaza dan diilhamkan oleh demonstrasi yang berterusan di kampus di Amerika Syarikat (AS).

Sebelum tengah malam, polis Amsterdam melalui aplikasi X memaklumkan, keadaan `tenang' dengan kebanyakkan penunjuk perasaan sudah meninggalkan kawasan itu.

Mereka sebelum ini berkata, `operasi dibenarkan oleh Datuk Bandar' selepas UvA mengenakan tuduhan termasuk mengganggu ketenteraman dan kemusnahan harta benda.

Imej di saluran tempatan, AT5 menunjukkan polis menahan beberapa penunjuk perasaan manakala seorang lagi cuba menghalang jengkaut sebelum melompat ke dalam terusan untuk mengelak daripada ditangkap.

Selain itu, terdapat juga imej menunjukkan polis mengelilingi dan mengheret sekumpulan kecil penunjuk perasaan yang tinggal di kampus, manakala jengkaut menolak bahan yang digunakan untuk memasang penghadang ke dalam terusan.

Penunjuk perasaan mengibarkan sepanduk bertulis `Bebaskan Palestin' dan menjerit `Anda memalukan' kepada polis.

Polis berkata, penunjuk perasaan itu bukan hanya pelajar tetapi turut membabitkan orang `yang tidak berkaitan dengan universiti dan sengaja mencari konflik dengan polis'.

Protes bermula di universiti pada Isnin dengan sekurang-kurangnya 169 orang telah ditangkap.

Majlis bandar raya Amsterdam akan mengadakan perbahasan tergempar mengenai demonstrasi yang sedang berlangsung pada Jumaat.

Penunjuk perasaan juga berkumpul di tempat lain di Belanda, termasuk di kampus Universiti Utrecht. –AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI