fb fb fb fb fb

Israel musnahkan puluhan rumah Badwi di padang pasir Negev

Foto AFP

NEGEV, 9 Mei - Pihak berkuasa Israel memusnahkan kira-kira 50 rumah milik Badwi di padang pasir Negev semalam di mana ia dikatakan adalah “pembinaan haram”.

Jentolak yang meratakan rumah di perkampungan Wadi al-Khalil, mencetuskan kemarahan dalam kalangan 500 orang komunitinya.

“Terdapat lebih 500 orang di sini. (Kini) kanak-kanak dan wanita tiada tempat lain untuk pergi,” kata penduduk Sleiman Abu Asa.

"Mereka merobohkan rumah kami, menyebabkan kami terkandas di luar," tambahnya ketika polis dikerahkan untuk memantau operasi itu.

“Kami tidak layak untuk ini. Kami telah mencari penyelesaian selama bertahun-tahun, mengharapkan penyelesaian yang adil, namun kerajaan telah menghalang semua pilihan kami."

Israel menganggap rumah yang dibina di Wadi al-Khalil sebagai pembinaan haram.

Menteri Keselamatan Negara sayap kanan, Itamar Ben Gvir mengulangi perkara ini dalam kenyataan yang disiarkan secara dalam talian pada Rabu.

Rumah Wadi al-Khalil adalah "pembinaan haram", katanya dan memberi amaran kepada sesiapa yang "melanggar undang-undang di padang pasir Negev" di selatan Israel.

Katanya, kemusnahan itu adalah "langkah penting" yang menunjukkan kuasa kerajaan tidak akan dicabar.

"Polis akan melawan sesiapa sahaja yang merampas tanah dan cuba membina realiti lain di atas tanah," kata Ben Gvir.

Sebelum wujudnya Israel pada tahun 1948, padang pasir Negev adalah rumah kepada kira-kira 92,000 Badwi. Tetapi hanya 11,000 kekal dalam sempadan Israel selepas Perang Arab-Israel 1948, menurut Adalah, sebuah kumpulan advokasi untuk minoriti Arab di Israel.

Ramai daripada mereka enggan ditempatkan semula di bandar-bandar, dan Badwi terus menghadapi kesukaran dalam masyarakat Israel sejak itu.

Hari ini terdapat kira-kira 300,000, separuh daripadanya tinggal di bandar dan separuh di kampung yang tidak diiktiraf oleh Israel, menurut Adalah.

Kampung-kampung ini kekurangan dalam perkhidmatan asas, seperti kutipan sampah.

Menurut aktivis Arab Israel, Taleb el-Sana, sejumlah 48 rumah telah diratakan oleh jentolak Israel pada hari Rabu, "mengakibatkan kanak-kanak dan wanita kehilangan tempat tinggal".

"Seluruh kampung telah dihapuskan hanya kerana penduduknya adalah orang Arab" dan "dengan alasan pembinaan tidak berlesen", katanya.

Menurut Sana, Israel "tidak membenarkan rakyat (Baduwin) mendapatkan permit bangunan dan kemudian" merobohkan rumah mereka dengan alasan kekurangan permit".

“Kami tidak layak menerima ini,” kata Abu Asa.

"Kami telah mencari penyelesaian selama bertahun-tahun, mengharapkan penyelesaian yang adil tetapi Israel telah menghalang semua pilihan kami," tambahnya. — AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI