fb fb fb fb fb

Jumlah korban banjir di Brazil melebihi 100 orang

Tentera membuat rondaan di kejiranan Humaita yang dilanda banjir di Porto Alegre/ AFP

PORTO ALEGRE, 9 Mei – Angka kematian akibat banjir besar yang melanda selatan Brazil selama beberapa hari melepasi 100 orang pada Rabu, kata pihak berkuasa.

Kira-kira 400 majlis perbandaran telah terjejas akibat bencana alam terburuk pernah melanda negeri Rio Grande do Sul, dengan ratusan orang cedera dan lebih 160,000 terpaksa meninggalkan rumah mereka.

Ramai yang tidak mempunyai akses kepada air minuman dan perkhidmatan telefon dan internet terputus di kebanyakan tempat.

Pada Selasa, gabenor negeri Eduardo Leite telah memberi amaran bahawa jumlah mangsa yang terjejas mungkin meningkat.

Kira-kira 15,000 tentera, bomba, polis dan sukarelawan terlibat dalam misi menyelamat di seluruh negeri, kebanyakannya menaiki bot dan jet ski, untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap dan memberi bantuan.

Malangnya di Porto Alegre hujan kembali pada Rabu, menghentikan usaha pemindahan.

Pejabat datuk bandar menggesa bot penyelamat untuk menangguhkan aktiviti mereka, akibat risiko kejutan elektrik kerana kilat dan angin kencang lebih 80 kilometer sejam.

Pihak berkuasa menggesa orang ramai supaya tidak kembali ke kawasan terjejas berikutan kemungkinan berlaku tanah runtuh dan membahayakan kesihatan.

"Air tercemar boleh membawa penyakit," kata jurucakap pertahanan awam, Sabrina Ribas memberi amaran pada Rabu.

Ramai orang enggan meninggalkan rumah mereka untuk keselamatan di tempat perlindungan kerana laporan mengenai harta mangsa banjir yang terbiar dirompak.

Konfederasi Perbandaran Kebangsaan berkata kira-kira 61,000 rumah - turun daripada anggaran awal 100,000 - telah rosak atau musnah akibat hujan dan banjir dengan kerugian dianggarkan kira-kira 6.3 bilion reais (kira-kira RM5.8 bilion.)

Kerosakan kepada sekolah, hospital dan bangunan perbandaran berjumlah kira-kira 351 juta reais.

Porto Alegre didiami kira-kira 1.4 juta orang dan kawasan metropolitan yang lebih besar mempunyai lebih daripada dua kali ganda jumlah itu.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI