fb fb fb fb fb

Penunjuk perasaan di New Delhi desak tindakan kerajaan tangani pencemaran udara toksik

Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di New Delhi menuntut tindakan segera kerajaan terhadap masalah pencemaran udara/ REUTERS

NEW DELHI, 10 November - Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di New Delhi pada Ahad bagi menuntut tindakan segera kerajaan terhadap masalah pencemaran udara toksik, ketika jerebu tebal mengandungi zarah halus berbahaya menyelubungi ibu negara India itu.

Sebahagian ibu bapa yang hadir turut membawa anak-anak mereka yang memakai pelitup muka serta memegang sepanduk dengan pelbagai mesej, antaranya berbunyi: "Saya rindu untuk bernafas."

New Delhi, dengan kawasan metropolitan yang menempatkan sekitar 30 juta penduduk, sering disenaraikan antara ibu kota paling tercemar di dunia.

Setiap musim sejuk, udara sejuk menyebabkan pencemar terperangkap berhampiran permukaan tanah, menghasilkan asap tebal beracun hasil gabungan pembakaran tanaman, pelepasan kilang dan kesesakan lalu lintas.

Paras zarah halus PM2.5 — iaitu partikel penyebab kanser yang cukup kecil untuk memasuki aliran darah — dilaporkan boleh meningkat sehingga 60 kali ganda melebihi had harian yang disyorkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

"Saya berada di sini sebagai seorang ibu," kata penunjuk perasaan Namrata Yadav yang hadir bersama anak lelakinya. "Saya tidak mahu menjadi pelarian iklim," tambahnya.

Pada Ahad, bacaan PM2.5 di sekitar India Gate — monumen perang ikonik tempat para penunjuk perasaan berkumpul — dilaporkan melebihi 13 kali ganda daripada had maksimum harian yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Tahun demi tahun, kisahnya sama, namun tiada penyelesaian," kata seorang peguam, Tanvi Kusum, yang menyertai perhimpunan kerana berasa "kecewa".
"Kita perlu memberi tekanan agar kerajaan benar-benar mengambil isu ini dengan serius," ujarnya.

Pelbagai inisiatif kerajaan dilaporkan belum menunjukkan kesan ketara, termasuk sekatan separa terhadap kenderaan berkuasa bahan api fosil serta penggunaan trak air bagi menyembur kabus untuk mengurangkan zarah di udara.

"Pencemaran sedang memendekkan jangka hayat kami," kata seorang wanita muda yang enggan mendedahkan identitinya dan mendakwa "bersuara bagi pihak Delhi."

Kajian diterbitkan dalam The Lancet Planetary Health tahun lalu menganggarkan sebanyak 3.8 juta kematian di India antara 2009 dan 2019 dikaitkan dengan pencemaran udara.

Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) turut memberi amaran bahawa udara tercemar meningkatkan risiko jangkitan pernafasan akut dalam kalangan kanak-kanak.

Ketika matahari terbenam di langit yang diselubungi jerebu, jumlah penunjuk perasaan dilihat semakin bertambah sebelum pihak polis menahan beberapa aktivis, merampas sepanduk dan kain rentang mereka dengan alasan perhimpunan itu diadakan tanpa kebenaran.

Salah satu sepanduk yang separuh koyak tertulis: "Saya hanya mahu bernafas."- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI