fb fb fb fb fb

Pembukaan Muzium Seni Afrika Barat di Nigeria ditangguh selepas insiden protes

Penunjuk perasaan mengganggu pembukaan Muzium Seni Afrika Barat (MOWAA) di Benin City, Edo State, Nigeria/ AFP

NIGERIA, 10 November - Pembukaan sebuah muzium baharu di Nigeria yang sepatutnya mempamerkan seni Afrika Barat ditangguhkan selepas sekumpulan penunjuk perasaan mengganggu lawatan khas prapelancaran pada Ahad, menurut pihak berkuasa.

Muzium Seni Afrika Barat (Museum of West African Arts, MOWAA) dijadualkan dibuka secara rasmi pada Selasa, namun majlis itu kini ditangguhkan untuk tempoh yang belum ditetapkan. MOWAA ditubuhkan lima tahun lalu oleh ahli perniagaan Nigeria, Phillip Ihenacho di Benin City, Negeri Edo, dengan sokongan bekas gabenor negeri berkenaan.

Muzium tersebut dijangka menempatkan ruang pameran, arkib serta program residensi bagi artis dan penggiat kraf dari rantau Afrika Barat. Pada Ahad, satu acara prapelancaran khas diadakan untuk para penderma dan profesional industri.

Bagaimanapun, kira-kira 20 orang lelaki, sebahagiannya bersenjatakan kayu, bertindak menyerbu kawasan perkarangan muzium itu, menyebabkan para tetamu terpaksa berlindung di dalam bangunan. Kumpulan berkenaan, yang tuntutannya tidak jelas, dilaporkan menyebabkan kerosakan kecil di kawasan perkarangan muzium.

"Penunjuk perasaan masuk dan mula merosakkan sebahagian paviliun penerimaan tetamu sebelum menyerbu bahagian hadapan bangunan di mana ruang pameran terletak," kata Ihenacho. Selepas kira-kira dua jam, para tetamu dibawa keluar dengan menaiki bas ke sebuah hotel berhampiran bagi tujuan keselamatan.

Muzium itu sebelum ini mencetuskan ketegangan antara bekas gabenor negeri dan penggantinya, yang merupakan sekutu kepada pemerintah tradisional Benin, Oba Ewuare II, yang mendakwa beliau sepatutnya mengetuai pengurusan muzium tersebut.

Benin sejak sekian lama berusaha mendapatkan semula artifak yang dirampas semasa era kolonial, termasuk "Gangsa Benin" yang dijarah lebih 120 tahun lalu. Sebahagian besar artifak gangsa berukir itu telah dirampas oleh tentera British dalam serangan balas di Benin sebelum dilelong atau dijual kepada muzium di seluruh Eropah dan Amerika Syarikat.

Ihenacho berkata beliau percaya penunjuk perasaan itu merupakan "wakil dari istana" Oba Ewuare II. "Kami tidak pernah mendakwa diri kami selain daripada sebuah Muzium Seni Afrika Barat," katanya.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI