(Anggota puak Sadr mula berundur dari Zon Hijau Baghdad/AFP)
BAGHDAD, 31 Ogos- Penyokong kuat ulama Syiah Iraq, Moqtada Sadr berundur dari Zon Hijau di Baghdad semalam selepas beliau menuntut dihentikan pertempuran antara pasukan Syiah dengan tentera yang mengakibatkan 30 maut dan ratusan cedera.
Pertempuran yang tercetus pada Isnin lalu itu melagakan penyokong setia Sadr dengan puak Syiah disokong negara jiran, Iran, mencetuskan keganasan sehingga mendorong Presiden Iraq mendesak diadakan pilihan raya awal dan Perdana Menteri mengancam mahu meletakkan jawatan.
Sadr, seorang pendakwah yang mempunyai jutaan pengikut setianya dan pernah mengetuai pakatan menentang tentera Amerika Syarikat (AS) dan Iraq, memberi tempoh 60 minit kepada pengikutnya supaya berundur.
"Saya memohon maaf kepada rakyat Iraq, satu-satunya yang terjejas oleh peristiwa itu. Revolusi ini memalukan. Tidak kira siapa pencetusnya, selagi ia dicemari dengan keganasan, bukanlah revolusi.
"Saya berterima kasih kepada pasukan keselamatan dan anggota Hashed al-Shaabi," kata Sadr dalam ucapan dari pangkalannya di kota suci Syiah, Najaf.
Menerusi ciapan di Twitternya, beliau menyeru pihak berkuasa untuk memberi pampasan kepada keluarga mangsa.
Selepas ucapan Sadr disiarkan secara langsung di televisyen, penyokongnya mula beredar dari Zon Hijau, sementara pekerja perbandaran mula membersihkan kelongsong peluru yang ditinggalkan dari pergolakan itu.
Tentera sudah menarik balik perintah berkurung di seluruh negara, dengan penghadang konkrit dikeluarkan dari laluan utama dan lalu lintas kembali lancar.
Ketika ketenangan kembali semalam, Presiden Barham Saleh menyarankan diadakan pilihan raya baru lebih awal yang diputuskan mengikut konsesus nasional, selain menyifatkan ia boleh memberikan jalan keluar kepada krisis itu.
Perdana Menteri, Mustafa al-Kadhemi pula berkata siasatan sudah dilakukan ke atas pencetus pergolakan itu dan bersedia meletakkan jawatan jika pergelutan politik berterusan.
"Jika mereka mahu terus mencetuskan huru-hara, konflik, perselisihan dan saingan, saya akan mengambil langkah moral dan patriotik dengan mengosongkan jawatan saya pada masa sesuai," katanya dalam ucapan. - AFP
(Anggota bersenjata Saraya al-Salam (Briged Keamanan), membidik semasa pertempuran
dengan pasukan keselamatan Iraq di Baghdad /AFP)