fb fb fb fb fb

Angkara catatan di media sosial, wanita Arab Saudi dipenjara 45 tahun

(FOTO FAIL/AFP)

RIYADH, 31 Ogos- Seorang wanita Arab Saudi dipenjara selama 45 tahun berkaitan catatan di media sosialnya, menurut kumpulan hak asasi manusia, Pertubuhan untuk Demokrasi di Dunia Arab (DAWN) yang memetik dokumen mahkamah.

Ia kes kedua yang dilaporkan dalam tempoh beberapa minggu.

DAWN berkata, Nourah al-Qahtani menerima hukuman berat itu selepas disabitkan dengan kesalahan menggunakan internet untuk mencetuskan ketegangan dan melanggar ketenteraman awam melalui media sosialnya.

Katanya, Qahtani disabitkan dengan kesalahan di bawah undang-undang berkaitan kesalahan keganasan dan Anti-Jenayah Siber kerajaan.

Kumpulan berpangkalan di Washington itu, yang diasaskan wartawan Arab Saudi yang dibunuh, Jamal Khashoggi, berkongsi salinan dokumen mahkamah, namun kandungannya tidak dapat disahkan.

Tiada reaksi segera daripada pihak berkuasa Arab Saudi setakat ini. Kes itu dilaporkan ketika perdebatan semakin sengit mengenai pembabitan barat dengan Arab Saudi, susulan lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden ke negara Teluk itu bulan lalu.

Biden sebelum ini mengancam menjadikan Arab Saudi sebagai 'suruhannya' susulan pembunuhan Khashoggi pada 2018 di bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul, namun krisis tenaga yang tercetus selepas pencerobohan Russia ke atas Ukraine mendorong beliau membuat pusing-U.

Beberapa butiran mengenai Qahtani dikongsi, yang kelihatannya bukan pengguna akaun Twitter yang aktif.


(FOTO FAIL/ AFP)

DAWN berkata, Qahtani ditahan pada Julai 2021 dan disabitkan bersalah oleh Mahkamah Jenayah Khusus, dengan rayuan juga dibuat awal bulan ini.

"Hanya beberapa minggu selepas hukuman 34 tahun Salma al-Shehab yang mengejutkan bulan ini, kini hukuman 45 tahun terhadap Qahtani.

"Menunjukkan betapa pihak berkuasa Arab Saudi berani untuk menghukum biarpun kritikan paling ringan daripada rakyatnya," kata Pengarah Penyelidikan DAWN untuk Wilayah Teluk, Abdullah Alaoudh.

Shehab, ibu kepada dua anak, juga berdepan hukuman penjara panjang atas rayuan bulan ini, kerana membantu penentang yang cuba mengganggu ketenteraman awam dengan menciap semula catatan mereka di Twitter, menurut dokumen mahkamah.

Calon doktor falsafah (PhD) di Universiti Leeds di Britain itu dilarang daripada melancong ke luar negara selama 34 tahun sebagai sebahagian daripada hukumannya.

Dia telah pulang ke Arab Saudi dari Britain walaupun terdapat ancaman dalam talian bahawa dia akan dikecam oleh pihak berkuasa.

Seorang rakan Shehab, yang meminta untuk tidak dikenali untuk keselamatannya sendiri, memberitahu AFP bahawa dia tidak mengambil serius ancaman itu.

"Dia tidak menyangka pihak berkuasa akan berminat dengan seseorang yang mempunyai pengikut kurang daripada 2,000," kata rakan itu.

Hukuman itu dibuat sebagai sebahagian daripada tindakan keras terhadap aktivis hak asasi manusia di kerajaan Teluk yang kaya dengan minyak, yang kebanyakannya juga telah dijatuhkan hukuman penjara dan larangan perjalanan.- AFP

Media Baharu