fb fb fb fb fb

Banjir Pakistan 'paling teruk dalam sejarah negara', usaha bantuan bertambah pantas

(Shehbaz Sharif berkata banjir itu sebagai "terburuk dalam sejarah Pakistan/AFP)

SUKKUR, 31 Ogos- Usaha bantuan meningkat merentasi Pakistan yang dilanda banjir untuk membantu berpuluh juta orang yang terjejas akibat hujan monsun tanpa henti yang menenggelamkan satu pertiga daripada negara itu dan meragut lebih 1,100 nyawa.

Perdana Menteri Shehbaz Sharif menyifatkan banjir itu "terburuk dalam sejarah Pakistan", sambil menambah ia akan menelan belanja sekurang-kurangnya AS$10 bilion untuk membaiki infrastruktur rosak di seluruh negara.

Hujan yang bermula pada bulan Jun telah menyebabkan banjir besar di seluruh negara dan menghanyutkan sebahagian besar tanaman penting dan merosakkan atau memusnahkan lebih sejuta rumah.

Pihak berkuasa dan badan amal bergelut untuk mempercepat penyaluran bantuan kepada lebih 33 juta orang, satu tugas yang mencabar di kawasan yang terputus kerana banyak jalan dan jambatan telah rosak teruk.

(FOTO AFP)

Di selatan dan barat negara itu, ramai penduduk bersesak-sesak di lebuh raya bertingkat dan landasan kereta api untuk melarikan diri dari dataran banjir.

"Kami tidak mempunyai ruang untuk memasak makanan. Kami memerlukan bantuan," kata Rimsha Bibi, seorang pelajar sekolah di Dera Ghazi Khan di tengah Pakistan, kepada AFP.

Pakistan menerima hujan lebat semasa musim tengkujuh yang penting untuk pertanian dan bekalan air.

Tetapi hujan lebat kali ini tidak pernah dilihat selama tiga dekad.

Pihak berkuasa menyalahkan perubahan iklim, yang meningkatkan kekerapan dan intensiti cuaca ekstrem di seluruh dunia. -AFP

Media Baharu