WASHINGTON, 6 Mei - Ketua Pentagon, Pete Hegseth mengarahkan pengurangan sekurang-kurangnya 20 peratus dalam bilangan jeneral dan laksamana berpangkat empat bintang dalam angkatan tentera Amerika Syarikat (AS).
Arahan itu dinyatakan menerusi satu memo rasmi daripada Setiausaha Pertahanan, sekali gus menandakan rombakan besar terbaharu di Pentagon di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump yang sebelum ini telah memecat beberapa pegawai kanan sepanjang tahun ini.
Memo berkenaan turut menetapkan pengurangan tambahan sebanyak 10 peratus dalam bilangan keseluruhan pegawai berpangkat jeneral dan laksamana, serta pengurangan 20 peratus dalam kalangan pegawai berpangkat jeneral dalam Pengawal Kebangsaan.
Bagaimanapun, kaedah pelaksanaan pengurangan tersebut tidak diperincikan.
Setakat Mac 2025, terdapat 38 pegawai berpangkat empat bintang, pangkat tertinggi yang lazimnya boleh dicapai dalam angkatan tentera Amerika Syarikat dan sejumlah 817 jeneral serta laksamana dalam angkatan tugas aktif.
Menurut memo itu, pengurangan berkenaan bertujuan untuk “menghapuskan struktur kekuatan yang berlebihan bagi mengoptimumkan dan memperkemaskan kepimpinan melalui pengurangan jawatan jeneral dan laksamana yang berlebihan.”
Hegseth kemudiannya memuat naik satu video di platform X mengenai perubahan itu, yang digelarnya sebagai “kurang jeneral, lebih askar.”
Menerusi video tersebut, beliau menegaskan meskipun saiz keseluruhan tentera jauh lebih besar semasa Perang Dunia Kedua, bilangan pegawai tertinggi ketika itu adalah lebih kecil.
Beliau berkata pemotongan berkenaan akan dilaksanakan dalam dua fasa, bermula dengan pengurangan pegawai berpangkat empat bintang dan jeneral dalam Pengawal Kebangsaan, diikuti dengan pengurangan 10 peratus dalam keseluruhan bilangan jeneral dan laksamana.
“Ini bukan langkah melulu untuk menghukum pegawai berpangkat tinggi,” katanya, sambil menambah proses tersebut dilaksanakan secara teliti melalui kerjasama dengan ketua turus bersama bagi mencapai matlamat memaksimumkan kesiapsiagaan strategik dan keberkesanan operasi.
Semasa pendengaran pengesahannya pada Januari lalu, Hegseth berhujah birokrasi Pentagon terlalu berat di peringkat atasan dan perlu dikurangkan.
Beliau memberitahu penggubal undang-undang bahawa tugas beliau adalah untuk mengenal pasti ruang-ruang yang boleh dipotong, supaya sumber itu dapat disalurkan kepada keupayaan tempur.
Sejak memulakan penggal kedua pada Januari, Presiden Trump telah melaksanakan penyingkiran beberapa pegawai tertinggi, termasuk Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Charles “CQ” Brown, yang dipecat tanpa penjelasan pada Februari.
Pegawai kanan lain yang turut dipecat tahun ini termasuk ketua Tentera Laut dan Pengawal Pantai, jeneral yang mengetuai Agensi Keselamatan Negara (NSA), Timbalan Ketua Turus Tentera Udara, laksamana Tentera Laut yang ditugaskan ke NATO, serta tiga peguam tentera kanan.
Hegseth menegaskan presiden hanya memilih pemimpin yang diingininya. Namun, penggubal undang-undang daripada Parti Demokrat telah menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan pempolitikan angkatan tentera Amerika Syarikat yang secara tradisinya bersifat neutral.
Selain itu, Pentagon turut mengumumkan pada Februari bahawa pihaknya berhasrat untuk mengurangkan bilangan kakitangan awam sekurang-kurangnya lima peratus, selaras dengan usaha pentadbiran Trump untuk mengurangkan tenaga kerja persekutuan atas nama penjimatan kos.-AFP