fb fb fb fb fb

Peningkatan penularan wabak taun membimbangkan di seluruh dunia - WHO

(Taun biasanya dijangkiti daripada makanan atau air yang tercemar dan merebak di kawasan
perumahan yang kekurangan rangkaian pembetungan yang betul atau air minuman/AFP)

GENEVA, 30 September- Selepas berjaya dikawal dengan baik selama bertahun-tahun, dunia kini menyaksikan peningkatan penularan wabak taun yang membimbangkan, demikian amaran dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Tahun ini sahaja, 26 negara telah melaporkan penularan wabak taun, berbanding tidak sampai 20 negara setahun sepanjang tempoh 2017 hingga 2021.

"Selepas bertahun-tahun jumlahnya berkurangan, kami melihat peningkatan wabak taun yang membimbangkan di seluruh dunia sepanjang tahun lalu," kata Philippe Barboza, ketua pasukan WHO mengenai taun dan penyakit cirit-birit, kepada pemberita di sini.

"Bukan sahaja kita mempunyai lebih banyak penularan, tetapi kadar penularannya lebih meluas dan lebih mengancam nyawa."

Beliau berkata purata kadar kes kematian yang dilaporkan pada 2021 hampir tiga kali ganda berbanding lima tahun sebelumnya.

Barboza berkata di samping kemiskinan dan konflik, perubahan iklim juga semakin menjadi sebahagian daripada faktor penyebab merebaknya taun.

"Peristiwa iklim ekstrem seperti banjir, taufan dan kemarau mengurangkan lagi akses kepada air bersih dan mewujudkan persekitaran yang ideal untuk taun merebak," katanya.

"Apabila kesan perubahan iklim semakin meningkat, kita boleh menjangkakan keadaan bertambah buruk jika kita tidak bertindak sekarang untuk meningkatkan pencegahan."

(Peningkatan penularan wabak taun membimbangkan di seluruh dunia/AFP)

Barboza berkata ketersediaan vaksin sangat terhad dengan permintaan melebihi bekalan, walaupun terdapat baki beberapa juta dos yang boleh digunakan sebelum akhir tahun ini.

Isu utama adalah hanya terdapat satu pihak yang mengeluarkan vaksin taun, dengan syarikat-syarikat lain tidak mahu terlibat jika mereka terpaksa menanggung sendiri semua kos pengeluaran.

"Kami perlu mencari cara untuk melibatkan lebih banyak pengeluar," kata Barboza.

Walaupun taun boleh membunuh dalam masa beberapa jam, ia boleh dirawat dengan rehidrasi oral yang mudah, dan antibiotik untuk kes yang lebih teruk.

Wabak juga boleh dicegah dengan memastikan akses kepada air bersih dan meningkatkan pengawasan. -AFP

Media Baharu