fb fb fb fb fb

19 terbunuh dalam kejadian letupan bom di Kabul

(Saudara-mara dan kakitangan perubatan memindahkan seorang gadis yang cedera dari ambulans
di luar hospital di Kabul pada 30 September 2022, berikutan letupan di pusat pembelajaran
di kawasan Dasht-e-Barchi di ibu negara Afghanistan / AFP)

 

KABUL, 1 Oktober- Seorang pengebom berani mati menyerang sebuah pusat pendidikan di ibu negara Afghanistan pada Jumaat ketika  ratusan pelajar sedang bersiap untuk peperiksaan universiti, membunuh sekurang-kurangnya 19 orang, kebanyakannya wanita muda.

Pengeboman berlaku di kawasan kejiranan Dasht-e-Barchi di barat Kabul, kawasan yang didominasi penduduk Islam Syiah yang menempatkan komuniti minoriti Hazara, yang menjadi sasaran beberapa serangan paling menakutkan di Afghanistan.

Menurut seorang pelajar yang berjaya melarikan diri, pengebom menembak mati dua pengawal keselamatan sebelum memasuki bilik kelas yang diasingkan jantina.

"Tidak ramai budak lelaki yang menjadi mangsa kerana mereka berada di bahagian belakang kelas. Pengebom itu masuk dari pintu hadapan tempat pelajar perempuan duduk," katanya.

Akbar, seorang lagi saksi memberitahu AFP bahawa wanita muda merupakan sebahagian besar mangsa, dengan sehingga 600 orang berada di dalam dewan pada masa itu.

Belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas letupan di Pusat Pendidikan Tinggi Kaaj, yang melatih pelajar untuk ujian kemasukan universiti.

Bagaimanapun, kumpulan Daesh  telah mendakwa serangan sebelum ini di kawasan itu menyasarkan kanak-kanak perempuan, sekolah, masjid dan hospital bersalin.

Seorang penduduk yang membawa mangsa ke hospital berkata dia melihat bahagian badan bertaburan di lantai dewan.

“Ramai pelajar terkena serpihan bom di kepala, leher dan mata,” kata Asadullah Jahangir.

Jurucakap polis Kabul Khalid Zadran berkata 19 orang terbunuh dan 27 yang lain cedera.

Seorang pekedai dari kawasan kejiranan berkata, berlaku letupan kuat dan kemudian ramai pelajar berpusu-pusu keluar dari pusat itu.

"Ia sangat huru-hara kerana ramai pelajar, lelaki dan perempuan, cuba melarikan diri dari bangunan itu. Ia adalah pemandangan yang mengerikan. Semua orang sangat takut," katanya kepada AFP.

Badan NGO Itali, yang mengendalikan sebuah hospital di Kabul, berkata mereka menerima 22 pesakit di kemudahan itu, termasuk 20 wanita, dua daripadanya telah meninggal dunia.

"Mangsa kesemuanya berumur antara 18 dan 25 tahun, dan kebanyakan mereka berada di dalam kelas untuk mengambil peperiksaan," katanya dalam satu kenyataan.

Taliban kembali berkuasa di Afghanistan tahun lalu menamatkan perang dua dekad dan menyaksikan pengurangan ketara dalam keganasan, tetapi keselamatan mula merosot sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Pada April, dua letupan bom dilaporkan pada hari yang sama di pusat pendidikan berasingan di Dasht-e-Barchi membunuh enam orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 20 yang lain.

Serangan pada Jumaat adalah "peringatan yang memalukan tentang ketidakupayaan dan kegagalan Taliban, sebagai pihak berkuasa de facto, untuk melindungi rakyat Afghanistan", kata Samira Hamidi dari kumpulan hak asasi manusia Amnesty International dalam satu kenyataan.

Pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke atas Afghanistan, Richard Bennett, turut mengutuk serangan itu.

"Serangan terhadap fasiliti pendidikan mesti ditamatkan. Hentikan serangan ke atas masa depan Afghanistan, hentikan jenayah antarabangsa," katanya di Twitter.

Hazara Syiah Afghanistan telah berdepan dengan penganiayaan selama beberapa dekad, menjadi sasaran Taliban semasa pemberontakan mereka terhadap bekas kerajaan yang disokong AS dan oleh IS ; kedua-duanya menganggap Syiah sebagai bidaah.

Keluarga mangsa dilihat  bergegas ke hospital di mana ambulans tiba dengan mangsa, dan senarai mereka yang disahkan mati atau cedera ditampal di dinding.

“Kami tidak menemuinya di sini,” kata seorang wanita yang tertekan mencari kakaknya di salah sebuah hospital memberitahu AFP. "Dia berumur 19 tahun."

Tahun lalu, sebelum Taliban kembali berkuasa, sekurang-kurangnya 85 orang terutamanya pelajar perempuan terbunuh dan kira-kira 300 cedera apabila tiga bom meletup berhampiran sekolah mereka di kawasan itu.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab, tetapi setahun sebelumnya IS mendakwa serangan berani mati ke atas pusat pendidikan di kawasan kejiranan sama yang mengorbankan 24 orang, termasuk pelajar.

Pada Mei 2020, kumpulan itu dipersalahkan atas serangan senjata api ke atas wad bersalin hospital di Dasht-e-Barchi yang mengorbankan 25 orang, termasuk ibu baru. - AFP


(Keadaan bilik kelas yang rosak ketika serangan pengebom berani mati di pusat
pendidikan di kawasan Dasht-e-Barchi di Kabul pada 30 September 2022 / AFP)

Media Baharu