KATHMANDU, 4 November - Tujuh pendaki maut dalam kejadian runtuhan salji di tengah Nepal pada Isnin, menurut polis, lapor Xinhua.
Sekumpulan 15 pendaki, terdiri daripada lima warga asing dan 10 malim gunung Nepal dilaporkan berada di kawasan kejadian runtuhan salji di kem asas Gunung Yalung Ri, daerah Dolakha.
“Tujuh mayat telah ditemukan termasuk lima warga asing dan dua rakyat Nepal.
"Tiga daripada mereka ialah warga Amerika Syarikat, seorang warga Itali dan seorang warga Kanada,” kata Ketua Polis Daerah Gyan Kumar Mahato kepada Xinhua, sambil menambah bahawa empat lagi cedera dan empat masih hilang.
Sebuah helikopter telah dikerah bagi operasi menyelamat, namun gagal mendarat akibat cuaca buruk, katanya.
Sehingga Jumaat lalu, Nepal memberi kebenaran kepada 1,450 pendaki untuk menawan 59 gunung sepanjang musim pendakian musim luruh yang berlangsung dari September hingga November. -BERNAMA-XINHUA