SAMANGAN, 4 November - Sekurang-kurangnya 27 orang maut manakala 733 lagi cedera susulan gempa bumi berukuran 6.3 magnitud di utara Afghanistan, pada Isnin.
Rakaman di wilayah Samangan menunjukkan bangunan runtuh, dan penduduk membersihkan serpihan.
Mangsa gempa, Mohamad Farooq berkata ahli keluarganya terkorban dalam bencana tersebut.
“Dalam gempa itu, anak saya yang berusia 17 tahun telah meninggal dunia dan dan semua barang dalam rumah saya musnah. Di rumah ini, lima keluarga tinggal bersama dan semua yang anda lihat telah hilang. Anda boleh ambil gambar, semua barang milik lima keluarga itu terkubur di bawah runtuhan dan semuanya musnah," katanya di sini.
Seorang lagi mangsa, Sdiq Khan berkata gegaran kuat itu berlaku kira-kira pukul 1.00 pagi.
“Ketika itu sekitar pukul 1.00 pagi, tanah bergegar dengan kuat dan debu berterbangan. Terdapat kira-kira 190 keluarga di sini
Semua rumah telah musnah dan dalam satu rumah, seorang wanita hamil bersama bayi dalam kandungannya terbunuh,” katanya.
Menurut laporan, pusat gempa terletak pada kedalaman 28 kilometer, selain mengakibatkan gangguan terhadap bekalan elektrik.
Selain Samangan, gempa turut melanda wilayah utara Afghanistan termasuk Balkh, Sar-e Pol, Baghlan, dan Kunduz.
Gempa kali ini merupakan kejadian bencana alam terbaharu bagi kerajaan Taliban, yang berdepan tiga gempa bumi kuat sejak mengambil alih Afghanistan pada 2021.
Pada Ogos lalu, gempa berukuran 6.0 pada skala richter melanda timur Afghanistan memusnahkan banyak perkampungan di kawasan lereng gunung dan mengorbankan lebih 2,200 orang. -VIORY