(Ilustrasi eksekusi hukuman mati/Foto hiasan)
PARIS, 28 April - Bilangan hukuman mati di Iran meningkat sebanyak 25% pada 2021, menurut laporan dua NGO antarabangsa terkemuka.
Laporan Iran Human Rights (IHR) yang berpangkalan di Norway dan Together Against the Death Penalty (ECPM) dari Perancis menyebut, kadar hukuman mati di Iran meningkat selepas pemilihan bekas ketua badan kehakiman, Ebrahim Raisi sebagai presiden pada Jun lalu.
Kedua-dua NGO juga menyatakan kebimbangan tentang lonjakan bilangan hukuman mati yang dilaksanakan bagi kesalahan dadah dan hukuman gantung terhadap sekurang-kurangnya 17 wanita.
(Foto hiasan)
Berdasarkan media rasmi dan sumber dalaman di Iran, sekurang-kurangnya 333 orang telah dihukum mati pada 2021, berbanding 267 orang pada 2020.
Sekurang-kurangnya 126 hukuman mati adalah untuk pertuduhan berkaitan dadah, lima kali lebih tinggi berbanding 25 kes pada tahun 2020.
Ini berlawanan dengan trend penurunan hukuman mati berkaitan dadah sejak Iran yang menghadapi tekanan antarabangsa, menerima pakai pindaan undang-undang antinarkotik pada 2017.
Laporan itu mendakwa, lebih 80 peratus hukuman mati tidak diumumkan secara rasmi dan kesemuanya bagi kesalahan berkaitan dadah. -AFP