fb fb fb fb fb

Indonesia gantung semua eksport minyak sawit

JAKARTA, 28 April - Indonesia hari ini mula mengenakan larangan sepenuhnya terhadap eksport minyak sawit.

Langkah itu diambil sebagai inisiatif menangani isu kekurangan bekalan minyak masak domestik dan harga yang melambung.

Dilaporkan, pengguna di beberapa bandar terpaksa menunggu berjam-jam di hadapan pusat pengedaran untuk membeli komoditi penting tersebut pada kadar subsidi.

(FOTO REUTERS)

"Semua produk termasuk minyak sawit mentah dilindungi bawah peraturan Kementerian Perdagangan dan akan dikuatkuasakan," kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto.

Presiden Joko Widodo berkata membekalkan keperluan kepada 270 juta penduduk adalah keutamaan tertinggi kerajaan ketika ini.

“Sebagai pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, ironinya kami menghadapi kesukaran mendapatkan minyak masak,” katanya.

Indonesia mengeluarkan kira-kira 60% daripada minyak sawit dunia, dengan satu pertiga digunakan untuk pasaran domestik.

Antara pelanggan eksport utamanya ialah India, China, Kesatuan Eropah dan Pakistan.

Kekurangan bekalan minyak sawit selama berbulan-bulan telah diburukkan lagi dengan peraturan yang lemah manakala pengeluar pula enggan menjual di pasaran domestik kerana harga di pasaran antarabangsa lebih tinggi, menjadikan pasaran eksport lebih menguntungkan.

Jakarta merancang untuk membenarkan semula eksport apabila harga minyak masak pukal pasaran tempatan jatuh kepada 14,000 rupiah (RM4.22) seliter, setelah melonjak 70% dalam beberapa minggu kebelakangan ini kepada 26,000 rupiah (RM7.83). -AFP

Media Baharu