TOKYO, 22 Disember- Jepun meluluskan langkah akhir untuk membenarkan operasi semula loji tenaga nuklear terbesar di dunia selepas satu undian peringkat wilayah diadakan pada Isnin.
Ini menandakan perubahan besar dasar tenaga negara itu hampir 15 tahun selepas bencana Fukushima.
Keputusan berkenaan mencetuskan bantahan apabila kira-kira 300 penunjuk perasaan berhimpun di luar Dewan Perhimpunan Wilayah Niigata sambil membawa sepanduk menentang tenaga nuklear dan pembukaan semula loji Kashiwazaki-Kariwa.
Antara yang menyertai bantahan ialah Ayako Oga, 52 tahun, seorang petani yang melarikan diri dari kawasan sekitar loji Fukushima pada 2011 dan menetap di Niigata selepas kediamannya berada dalam zon larangan akibat pencemaran radiasi.
Beliau berkata mangsa bencana Fukushima masih berdepan kesan mental, fizikal dan ekonomi, sambil menyuarakan kebimbangan risiko berlakunya satu lagi kemalangan nuklear.
Loji Kashiwazaki-Kariwa, terletak kira-kira 220 kilometer di barat laut Tokyo, merupakan antara 54 reaktor yang ditutup selepas gempa bumi dan tsunami 2011 yang mencetuskan bencana nuklear terburuk sejak Chernobyl.
Penyiar awam NHK melaporkan Tokyo Electric Power Company (TEPCO) sedang mempertimbangkan untuk mengaktifkan semula reaktor pertama daripada tujuh reaktor di loji itu seawal 20 Januari depan.
Walaupun TEPCO berikrar melabur 100 bilion yen di Niigata dalam tempoh 10 tahun, tinjauan wilayah Oktober lalu mendapati 60 peratus penduduk berpendapat syarat pembukaan semula belum dipenuhi, manakala hampir 70 peratus bimbang terhadap keupayaan syarikat itu mengendalikan loji berkenaan. -REUTERS