fb fb fb fb fb

China bantah rampasan kapal oleh AS, dakwa langgar undang-undang antarabangsa

Jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian/REUTERS

BEIJING, 22 Disember- China pada Isnin mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) yang merampas kapal milik negara lain secara sewenang-wenangnya, sambil menyifatkan perbuatan itu sebagai pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.

Jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian berkata Venezuela mempunyai hak untuk membangunkan hubungan dengan negara lain, termasuk dalam bidang perdagangan dan tenaga, tanpa campur tangan pihak luar.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan bahawa AS telah memintas sebuah kapal tangki minyak di perairan antarabangsa berhampiran pantai Venezuela pada Isnin, yang merupakan operasi kedua seumpamanya hujung minggu ini dan ketiga dalam tempoh kurang dua minggu.

Menurut pegawai industri, jika berjaya, tindakan berkenaan dijangka menimbulkan ketidaktentuan bekalan minyak global, sekali gus mendorong kenaikan harga minyak mentah.

Kumpulan pengurusan risiko maritim Britain, Vanguard, bersama sumber keselamatan maritim AS, mengenal pasti kapal terbabit sebagai Bella 1, sebuah kapal pengangkut minyak mentah bersaiz besar (VLCC).

Kapal itu dimasukkan ke dalam senarai sekatan Jabatan Perbendaharaan AS tahun lalu atas dakwaan mempunyai kaitan dengan Iran, walaupun TankerTrackers.com melaporkan Bella 1 tidak membawa muatan ketika menghampiri Venezuela pada Ahad.

Menurut dokumen dalaman syarikat minyak milik kerajaan Venezuela, PDVSA, kapal berkenaan pernah mengangkut minyak Venezuela ke China pada 2021 dan sebelum ini turut dilaporkan membawa minyak mentah Iran. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM