fb fb fb fb fb

Jeneral kanan Rusia maut dalam letupan kereta di Moscow

Foto AFP

MOSCOW, 22 Disember- Seorang jeneral kanan Rusia terbunuh selepas satu alat letupan yang diletakkan di bawah keretanya meletup di selatan Moscow pada Isnin.

Menurut Jawatankuasa Penyiasatan Rusia memaklumkan siasatan telah dibuka atas kesalahan “pembunuhan” membabitkan Leftenan Jeneral Fanil Sarvarov, ketua jabatan latihan dalam Markas Besar Angkatan Tentera Rusia.

Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa turut menyiasat kemungkinan serangan berkenaan mempunyai kaitan dengan pasukan khas Ukraine, antara beberapa sudut siasatan yang sedang diteliti.

Sejak Rusia melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine pada Februari 2022, Kiev sering dipersalahkan atas beberapa serangan yang menyasarkan pegawai tentera Rusia dan individu pro-Kremlin, sama ada di Rusia atau di wilayah Ukraine yang dikuasai Moscow.

April lalu, Timbalan Ketua Markas Besar Angkatan Tentera Rusia, Jeneral Yaroslav Moskalik terbunuh dalam satu letupan bom kereta berhampiran Moscow.

Sebelum itu, pada Disember 2024, Igor Kirillov, ketua pasukan pertahanan radiologi, kimia dan biologi Rusia, maut apabila sebuah skuter elektrik yang dipasang bahan letupan meletup di Moscow, serangan yang didakwa oleh perkhidmatan keselamatan Ukraine (SBU).

Beberapa tokoh lain turut terkorban dalam siri serangan sebelum ini, termasuk blogger tentera Rusia, Maxim Fomin pada 2023 dan Daria Dugina, anak kepada ahli ideologi ultranasionalis Alexander Dugin, yang maut dalam serangan bom kereta pada Ogos 2022. -AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM