fb fb fb fb fb

Penggunaan susu formula bayi buatan sendiri tidak selamat

(FOTO AFP)

WASHINGTON, 19 Mei - Akademik Pediatrik Amerika Syarikat (AAP) memberi amaran penggunaan susu formula bayi buatan sendiri adalah tidak selamat.

Ia mungkin tidak mengandungi vitamin dan nutrisi yang mencukupi untuk membantu perkembangan dan tumbesaran bayi.

Perkara itu dipersetujui pengasas Calabasas Pediatrik di California, Tanya Altmann.

"Saya menasihati pesakit untuk tidak membuat susu formula bayi buatan sendiri. Ia tidak akan memenuhi keperluan nutrisi bayi dan sangat berbahaya kepada pertumbuhan serta perkembangan mereka," katanya kepada AFP.

(Foto diambil pada 16 Mei 2022 memperlihatkan rak susu formula
bayi yang kosong di Target Annapolis, Maryland/AFP)

Terdahulu, satu resepi susu formula sejak tahun 1960 dikongsi lebih ratusan ribu pengguna Facebook menggesa ibu bapa mencampurkan susu sejat, air dan sirap jagung Karo.

Tindakan itu susulan rakyat Amerika Syarikat kini berdepan sekatan pembelian dan harga yang lebih tinggi menyebabkan mereka semakin terdesak untuk mendapatkan makanan yang diperlukan untuk bayi.

Tambah Altmann yang juga pengarang beberapa buku keibubapaan, melihat kepada resepi yang dikongsikan di laman sosial itu, gula tambahan jelas tidak selamat atau sihat untuk bayi.

"Sirap Karo pernah digunakan untuk membantu mengurangkan sembelit tetapi ia tidak digalakkan kerana tidak berkesan malah boleh mengandungi bakteria berbahaya," katanya.

Sementara itu, seorang profesor kejurawatan bersekutu di Universiti Purdue, Azza Ahmed berkata formula buatan sendiri boleh meletakkan bayi berisiko kepada 'pencemaran dan jangkitan'.-AFP

Media Baharu