KUALA LUMPUR, 15 Februari - Pengembara dari Malaysia yang lengkap divaksin tidak perlu menjalani kuarantin untuk memasuki India berkuat kuasa Isnin, menurut Suruhanjaya Tinggi India ke Malaysia.
Selain itu, Ujian RT-PCR COVID-19 pra penerbangan juga tidak wajib bagi pengembara lengkap divaksin yang tiba di India dari Malaysia.
“Sebagai pemacu vaksinasi terbesar di dunia, bermula dengan vaksin Aatmanirbhar India, dan protokol COVID-19 ditetapkan, India melonggarkan sekatan perjalanan untuk pelancong yang datang ke India dari Malaysia.
"Suruhanjaya Tinggi India mendoakan keselamatan dan pengalaman yang tidak mungkin dilupakan di India untuk pengembara Malaysia," menurut Suruhanjaya Tinggi itu menerusi catatan Facebook.
Meskipun tiada pengiktirafan rasmi bersama bagi pensijilan COVID-19 yang ditandatangani antara Malaysia dan India, kedua-dua kerajaan mengiktiraf sijil vaksinasi dalam amalan diplomatik dan di lapangan.
Pintu pelancongan India dibuka semula pada 15 November lalu bagi ketibaan dari semua negara dengan beberapa sekatan bergantung dari mana pengembara berlepas.
Pengembara ke India bagaimanapun dinasihat menyemak garis panduan perjalanan di laman web https://mohfw.gov.in sebelum memulakan perjalanan.-BERNAMA