MANAGUS, 13 Disember- Pengarah pertandingan Miss Nicaragua telah meletak jawatan, seminggu selepas polis negara itu mendakwa dia, bersama suami dan anak lelakinya, dengan konspirasi dan pengkhianatan, menuduh mereka terlibat dalam plot untuk menggulingkan kerajaan.
Karen Celebertti, yang telah mengetuai francais Miss Universe Nicaragua selama lebih dua dekad, membuat pengumuman itu pada Selasa melalui akaun Instagramnya.
Peristiwa yang penuh kontroversi itu berlaku selepas kemenangan hebat Sheynnis Palacios di Miss Universe 2023 yang dihoskan di El Salvador bulan lalu sebagai wakil pertama negara itu untuk merangkul gelaran brekenaan.
Sambutan kemenangan besar-besaran di jalanan selepas itu kemudiannya dikaitkan dengan perhimpunan antikerajaan pada 2018, ketika rakyat Nicaragua membantah perubahan kepada keselamatan sosial negara.
Pertubuhan hak asasi manusia telah menganggarkan sekurang-kurangnya 355 orang terbunuh apabila pasukan polis bertindak keras terhadap protes itu; Presiden Nicaragua Daniel Ortega dan kerajaannya telah mengkategorikan demonstrasi sebagai keganasan dan cubaan rampasan kuasa.
Awal bulan ini, polis menegaskan penglibatan Celebertti dengan dakwaan cubaan rampasan kuasa yang gagal dalam satu kenyataan.
Polis berkata mereka juga mempunyai bukti bahawa Celebertti telah menggunakan peranannya untuk menjadikan pertandingan ratu cantik sebagai 'perangkap politik dan serangan hendap, yang dibiayai oleh ejen asing.
Sementara itu, Pertubuhan Miss Universe mengesahkan telah menerima peletakan jawatan Celebertti.
Pada 23 November, Celebertti dan anak perempuannya dilarang masuk ke negaranya apabila mereka cuba pulang dari Mexico manakala suami dan anak lelakinya telah ditahan di Nicaragua sejak 27 November.-AFP