OTTAWA, 15 Oktober- Seorang wanita warga emas dari Chicago berusia 104 tahun yang mendapat perhatian dunia melalui aksi terjunan udara awal bulan ini dilaporkan meninggal dunia.
Skydive Chicago & Parachute Association memaklumkan, Dorothy Hoffner menghembuskan nafas terakhir pada Isnin lalu, kira-kira seminggu selepas dia memenuhi hasrat ‘terakhirnya’ untuk menjadi penerjun tertua di dunia.
Pada 1 Oktober lepas, Hoffner melakukan terjunan dari ketinggian 13,500 kaki menerusi pesawat di utara Illinois.
Mendiang terjun bersama jurulatih terjun dan menikmati detik-detik jatuh bebas selama beberapa saat sebelum payung terjun dibuka.
Kedua-duanya berada di ruang udara selama tujuh minit sebelum mendarat.
Pegawai dari Rekod Dunia Guinness turut hadir pada lompatan Hoffner itu dan pengesahan aksi wanita tersebut sebagai penerjun tertua dunia masih dalam proses pihak berkenaan.
Gelaran penerjun tertua ketika ini dipegang oleh Linnéa Ingegärd Larsson dari Sweden yang melakukan terjunan ketika usia 103 tahun pada Mei 2022. -Reuters