(Bendera AS dan Korea Utara dilihat di Hotel Capella,
Singapura/Foto fail/REUTERS)
SEOUL, 21 Julai- Penempatan kapal pengangkut pesawat, pengebom atau kapal selam peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) di Korea Selatan disifatkan sebagai menggunakan senjata nuklear.
Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan Menteri Pertahanan Korea Utara, Kang Sun-nam berkata tindakan itu memenuhi kriteria menggunakan senjata nuklear.
Pandangan tersebut dibuat ketika pihak terlibat menunjukkan kekuatan tentera mengenai senjata nuklear dan program peluru berpandu balistik negara terpencil itu.
Kenyataan Menteri Pertahanan itu juga menuduh Amerika Syarikat dan Korea Selatan meningkatkan ketegangan di rantau itu sambil mengkritik pertemuan pertama oleh Kumpulan Perundingan Nuklear (NCG) mereka.
"Peningkatan penempatan kapal selam nuklear strategik dan aset strategik lain mungkin berada di bawah syarat penggunaan senjata nuklear yang dinyatakan dalam undang-undang Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK)," kata kenyataan itu.
(Kapal Selam Peluru Berpandu Balistik AS di
Pangkalan Tentera Laut Busan, di Busan/REUTERS)
Kenyataan Kang itu merujuk kepada kapal selam peluru berpandu balistik AS kelas Ohio bersenjata nuklear yang tiba di sebuah pelabuhan di bandar selatan Busan awal minggu ini.
"Fasa pertempuran tentera di semenanjung Korea telah muncul sebagai realiti berbahaya," kata laporan KCNA.
Kementerian Pertahanan Negara Korea Selatan berkata mesyuarat NCG dan penempatan USS Kentucky adalah "sekadar tindakan balas pertahanan" terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.
"Korea Utara tidak akan mendapat konsesi daripada pakatan Korea Selatan-AS untuk pembangunan dan ancaman nuklearnya yang hanya akan membawa kepada pengasingan dan kesukaran yang semakin teruk," kata Kementerian Korea Selatan dalam satu kenyataan.
Selasa lalu, seorang askar AS ditahan ketika menyeberangi sempadan Korea Utara yang dikawal ketat tanpa kebenaran. Bagaimanapun, Korea Utara masih belum mengulas mengenai insiden tersebut.
Tahun lalu, negara tertutup itu menyeragamkan undang-undang nuklear baharu, mengisytiharkan statusnya sebagai negara bersenjata nuklear 'tidak boleh ditarik balik'.-REUTERS