(Foto hiasan)
MUMBAI, 21 Julai- Pengeksport beras terbesar dunia, India telah melarang beberapa jualan bijirin luar negara berkuat kuasa serta-merta, sebagai satu langkah yang boleh memacu harga antarabangsa lebih tinggi.
Beras merupakan makanan ruji utama dunia dan harga di pasaran antarabangsa telah melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh sedekad, ketika dunia bergelut dengan pandemik COVID-19, perang di Ukraine dan fenomena cuaca El-Nino yang memberi kesan terhadap tahap pengeluaran.
Kementerian Hal Ehwal Pengguna dan Makanan berkata India akan melarang eksport beras putih, bukan basmati yang menyumbang kira-kira satu perempat daripada jumlahnya.
Langkah itu akan memastikan 'ketersediaan yang mencukupi' dan meredakan kenaikan harga dalam pasaran domestik", katanya dalam satu kenyataan.
India menyumbang lebih daripada 40 peratus daripada pasaran beras global.
(Foto hiasan)
Tindakan itu berkemungkinan berisiko menjejaskan bekalan makanan kepada negara-negara yang sangat bergantung kepada import beras", menurut firma analisis data Gro Intelligence.
"Negara-negara yang dijangka akan terlibat dalam larangan itu termasuk negara-negara Afrika, Turkiye, Syria dan Pakistan yang ke semuanya sudah bergelut dengan inflasi harga makanan yang tinggi", tambah firma itu.
Permintaan global menyaksikan eksport beras putih bukan basmati India melonjak 35 peratus dari tahun ke tahun pada suku kedua, kata kementerian itu.
Peningkatan itu berlaku walaupun selepas kerajaan melarang penghantaran beras dan mengenakan cukai eksport 20 peratus ke atas beras putih pada September.
Pembatalan Moscow terhadap perjanjian bijirin Laut Hitam yang melindungi eksport Ukraine telah menyebabkan harga gandum meningkat.
"Jelas sekali ini akan menambah inflasi di seluruh dunia kerana beras boleh digunakan sebagai pengganti gandum", kata Penganalisis Kanan Rabobank Oscar Tjakra.
Harga beras di India meningkat antara14-15 peratus pada tahun itu hingga Mac dan kerajaan "melihat dengan jelas ini sebagai 'amaran' dari sudut keselamatan makanan dan inflasi domestik", kata Pengarah Penyelidikan agensi Penarafan Crisil Pushan Sharma dalam satu kenyataan.
India telah mengekang eksport gandum dan gula tahun lepas untuk mengawal harga produk tersebut.-AFP