fb fb fb fb fb

Tanah runtuh di India: Angka kematian meningkat 16 orang

(Foto REUTERS)

IRSHALWADI, 21 Julai- Angka kematian akibat tanah runtuh di barat India meningkat kepada 16 orang, manakala kira-kira 100 orang dikhuatiri masih terperangkap.

Tanah runtuh itu berlaku pada tengah malam di dusun pergunungan Irshalwadi, Maharashtra terletak kira-kira 60 kilometer (km) dari Mumbai, selepas hujan berterusan di wilayah itu.

Ketua Pengarah Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF), Atul Karwal berkata anggota penyelamat menemui 16 mayat dan pihak berkuasa tempatan menasihatkan mereka menangguhkan operasi pencarian.

"Tidak mungkin untuk mencari orang dalam kegelapan di kawasan sebegitu," katanya, sambil menambah dia tetap berharap lebih ramai lagi ditemui hidup.

Seorang saksi memberitahu bahawa pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari selama lebih 12 jam dalam keadaan cuaca hujan lebat dan berkabus serta mengelak batu besar yang jatuh ke bawah cerun gunung.

"Beberapa orang menggali lubang kubur berhampiran lokasi kejadian kerana membawa mangsa menuruni gunung terlalu sukar, kata saksi itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Maharashtra memberitahu lebih 80 orang berjaya menyelamatkan diri dan lebih 100 orang dikhuatiri terperangkap.

Dianggarkan sekurang-kurangnya 225 orang tinggal di kawasan tersebut.


(Foto REUTERS)

Dua tahun lalu, tanah runtuh di kampung berhampiran mengorbankan lebih 80 orang.

Jabatan Meteorologi India berkata bencana yang dikaitkan dengan hujan telah mengorbankan lebih 100 orang di India, kebanyakannya di utara, sejak bermulanya musim tengkujuh pada 1 Jun.

"Daerah itu menerima hujan sebanyak 400 mm dalam tempoh 24 jam lalu dan lebih banyak hujan dijangka berlaku", menurut Jabatan Kaji Cuaca.

Amaran merah telah dikeluarkan untuk pantai Maharashtra dan negeri Gujerat di utara.

Sekolah dan jalan raya ditutup selain perkhidmatan pengangkutan terjejas selepas hujan lebat melanda bandar itu.

Minggu ini, Sungai Yamuna melimpahi tebing dan air naik sehingga tembok di perkarangan Taj Mahal buat pertama kali dalam tempoh 45 tahun, sehingga menenggelamkan beberapa monumen bersejarah dan taman yang mengelilingi bangunan kurun ke-17 itu.

Seminggu sebelum kejadian, penghadang banjir yang tersekat dan kerosakan sistem perparitan menyebabkan air Sungai Yamuna membanjiri bandar serta turut menenggelamkan beberapa kawasan termasuk bangunan bersejarah Red Fort dan Rajghat iaitu memorial memperingati Mahatma Gandhi.-REUTERS

Media Baharu