CARACAS, 7 Oktober - Penduduk membanjiri pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Caracas pada Isnin, menuntut penghormatan terhadap kedaulatan Venezuela serta keamanan di tengah ketegangan yang semakin memuncak dengan Amerika Syarikat (AS).
Perarakan itu dianjurkan oleh kumpulan politik dan sosial, dengan membawa sepanduk menolak campur tangan asing serta menyatakan sokongan terhadap Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.
Demonstrasi tersebut diadakan selepas berbulan-bulan ketegangan yang kian meningkat antara kedua-dua negara.
Pentadbiran AS menuduh Maduro mengetuai sebuah kartel dadah.
Sebagai tindak balas, AS menghantar beberapa kapal perang ke perairan antarabangsa berhampiran Venezuela dalam usaha yang didakwa bagi memerangi penyeludupan dadah.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pasukan AS mengebom beberapa bot yang didakwa mempunyai kaitan dengan pengedaran dadah Venezuela, sekali gus mengorbankan puluhan nyawa. –REUTERS