fb fb fb fb fb

Greta Thunberg kecam pemimpin dunia, gagal pertahan hak asasi manusia

Aktivis kemanusiaan, Greta Thunberg/REUTERS

ATHENS, 7 Oktober- Aktivis kemanusiaan, Greta Thunberg mengecam pemimpin antarabangsa atas kegagalan mereka mempertahankan hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

Kenyataan itu dilontarkan selepas beliau ditahan oleh pihak berkuasa Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) ke Gaza.

Dalam satu kenyataan video yang dimuat naik ke akaun Instagramnya pada Isnin, Thunberg menyifatkan penahanannya akibat kegagalan pemimpin dunia untuk bertindak.

“Mereka sering bercakap tentang pentingnya mempertahankan hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa serta memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza.

Namun apabila kami cuba melaksanakan perkara itu secara aman dan sah, mereka gagal menjamin keselamatan kami,” katanya.

Thunberg turut menegaskan bahawa penahanan dirinya dan aktivis lain tidak seharusnya mengalihkan perhatian dunia daripada krisis kemanusiaan di Gaza, sambil menambah bahawa “kisah sebenar ialah penderitaan rakyat Gaza, bukan kami yang ditahan.”

Aktivis berusia 22 tahun itu ditahan bersama puluhan aktivis lain selepas cuba belayar ke Gaza menerusi GSF, yang membawa bekalan bantuan dan bertujuan menarik perhatian dunia terhadap keadaan penduduk Gaza yang terjejas akibat konflik berpanjangan.

Israel menafikan dakwaan melakukan pembersihan etnik atau genosid di Gaza dan menyifatkan laporan mengenai kebuluran di wilayah itu sebagai berlebihan.

Selain itu, menuduh flotila tersebut sebagai tindakan publisiti yang menguntungkan Hamas.

Thunberg sebelum ini turut ditahan di laut pada Jun lalu dalam cubaan terdahulu untuk menembusi sekatan Israel ke atas Gaza. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM