fb fb fb fb fb

Lula gesa Trump hapus tarif dagangan Brazil

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden AS, Donald Trump/AFP

BRASILIA, 7 Oktober- Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump supaya membatalkan tarif dagangan dan sekatan terhadap Brazil.

Permintaan itu dibuat menerusi satu panggilan rasmi pertama mereka pada Isnin, selepas berbulan-bulan hubungan tegang antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin itu berbual selama 30 minit dalam suasana mesra, dengan Lula mencadangkan pertemuan secara bersemuka di Malaysia bulan depan, menurut kenyataan pejabat presiden Brazil.

Trump pula menyifatkan panggilan itu sebagai "sangat baik" dan berkata mereka akan berjumpa tidak lama lagi di Brazil dan AS.

Hubungan antara Washington dan Brasilia merosot sejak beberapa bulan lalu selepas Trump marah dengan perbicaraan dan sabitan ke atas sekutunya, bekas presiden sayap kanan Jair Bolsonaro.

Trump sebelum ini mengenakan tarif 50 peratus terhadap produk Brazil serta sekatan ke atas beberapa pegawai tertinggi negara itu, termasuk seorang hakim Mahkamah Agung.

Naib Presiden Brazil, Geraldo Alckmin berkata perbualan itu berjalan lebih baik daripada dijangka dan kedua-dua pemimpin telah bertukar nombor telefon peribadi, menandakan permulaan kepada hubungan lebih terbuka.

Dalam pada itu, Lula turut menjemput Trump menghadiri Sidang Kemuncak Iklim COP-30 di Belem, Brazil pada November dan menyatakan kesediaannya untuk melawat AS dalam masa terdekat.

Data dagangan yang dikeluarkan Isnin menunjukkan eksport Brazil ke AS menurun 20.3 peratus pada September manakala import dari AS meningkat 14.3 peratus.

Namun, Brazil terus mengukuhkan pasaran alternatif di Asia termasuk China, India dan Singapura, dengan eksport keseluruhan meningkat 7.2 peratus bulan lalu. -AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM