fb fb fb fb fb

Mogok di Lima, desak kerajaan tangani jenayah dan ugutan bersenjata

Foto REUTERS

LIMA, 7 Oktober- Pekerja pengangkutan awam di ibu negara Peru, Lima melancarkan mogok besar-besaran pada Isnin bagi mendesak kerajaan mengambil tindakan lebih tegas terhadap peningkatan kes jenayah dan ugutan bersenjata, yang semakin membimbangkan penduduk bandar itu.

Di beberapa kawasan di Lima, polis berdepan penunjuk perasaan yang membakar tayar dan menghalang jalan.

Situasi tegang itu mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk apabila ribuan penduduk bergelut mendapatkan kenderaan awam untuk ke tempat kerja.

Kerajaan dalam kenyataan rasmi menyeru majikan supaya memberi tempoh kelonggaran dua jam kepada pekerja untuk tiba di pejabat, selain mengarah semua sekolah di Lima menjalankan sesi pembelajaran secara dalam talian.

Beberapa universiti awam dan swasta turut mengambil langkah sama.

Protes itu dicetuskan selepas seorang pemandu bas ditembak mati pada Sabtu lalu oleh dua penyerang bermotosikal, menurut polis dan syarikat pengangkutan terlibat.

Kes itu menambah tekanan kepada pihak berkuasa selepas pelbagai laporan ugutan terhadap pemandu dan pengusaha pengangkutan meningkat mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Data polis menunjukkan kes ugutan di Peru meningkat daripada 3,872 kes pada 2019 kepada kira-kira 22,400 kes pada tahun lalu, manakala bagi tempoh Januari hingga September tahun ini sahaja sudah mencecah 18,430 kes.

Menurut data rasmi kerajaan, negara itu turut mencatatkan 2,082 kes pembunuhan pada 2024 dan setakat sembilan bulan pertama tahun ini, 1,706 kes bunuh telah direkodkan. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM