NEW DELHI, 7 Oktober- Sekurang-kurangnya 14 kanak-kanak dilapor maut selepas mengambil sirap batuk mengandungi bahan toksik di India.
Justeru, polis India menahan seorang doktor yang disyaki terlibat dan membuka kertas siasatan.
Kebanyakan mangsa berusia bawah lima tahun dan meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang selepas meminum ubat batuk berjenama Coldrif Syrup.
Sirap berkenaan dikesan mengandungi bahan beracun, diethylene glycol pada kadar hampir 500 kali ganda, melebihi had dibenarkan.
Syarikat pengeluar Coldrif, Sresan Pharma, dinamakan sebagai antara pihak utama yang disiasat manakala doktor yang disyaki, Dr. Praveen Soni, ditahan selepas didapati telah menetapkan preskripsi ubat tersebut kepada kebanyakan mangsa.
Peguam bela Soni memaklumkan bahawa mahkamah di daerah Chhindwara, Madhya Pradesh telah mengarahkan supaya beliau ditahan reman untuk siasatan lanjut.
Ketua Menteri Madhya Pradesh, Mohan Yadav turut bertemu keluarga mangsa dan mengumumkan bahawa kerajaan negeri telah menamatkan perkhidmatan seorang pegawai perubatan dan pengawal ubat, selain mengarahkan tindakan tatatertib terhadap timbalan pengawal ubat.
Beberapa negeri di India kini melancarkan pemeriksaan menyeluruh terhadap farmasi dan gudang bagi memastikan sirap tersebut tidak lagi dijual di pasaran.
Sresan Pharma kini berdepan pertuduhan membunuh tanpa niat, menghasilkan ubat tercemar, serta melanggar Akta Ubat-Ubatan dan Kosmetik India, yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan. -REUTERS