MAHOTTARI, 7 Oktober- Penduduk di daerah Mahottari, tenggara Nepal berdepan kesukaran selepas kehilangan akses kemudahan asas susulan kejadian banjir dan tanah runtuh yang meragut puluhan nyawa.
Ketua pegawai daerah Mahottari, Narayan Prasad Risal berkata air banjir telah menenggelamkan sebahagian bangunan dan memaksa ramai keluarga meninggalkan kediaman mereka.
“Pihak berkuasa tempatan sedang membantu mangsa untuk memastikan mereka mendapat makanan dan air minuman yang mencukupi,” katanya.
Namun, seorang penduduk yang enggan dikenali meluahkan rasa kecewa terhadap apa yang disifatkannya sebagai kegagalan pihak berkuasa bertindak segera.
“Segala harta benda kami telah tenggelam, kerosakan berlaku di mana-mana,” ujarnya.
Setakat ini, jumlah korban akibat banjir dan tanah runtuh di Nepal meningkat kepada 50 orang, dengan daerah Ilam di timur yang bersempadan dengan India mencatatkan 37 kematian. -REUTERS