fb fb fb fb fb

Penduduk sokong kerajaan India tutup pintu Empangan Salal

Empangan Salal merupakan empangan utama terakhir sebelum aliran Sungai Chenab memasuki Pakistan

KASHMIR, 7 Mei- Penduduk di daerah Reasi, wilayah Jammu dan Kashmir menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan kerajaan India menutup pintu empangan yang mengehadkan aliran air Sungai Chenab ke Pakistan.

Rakaman yang diambil pada Selasa memaparkan penutupan Empangan Salal empangan utama terakhir sebelum aliran Sungai Chenab memasuki Pakistan menyaksikan paras air sungai semakin surut hingga menampakkan dasar sungai yang kering.

Menurut seorang penduduk, langkah itu dianggap simbolik sebagai mesej tegas kepada Pakistan susulan serangan berdarah di Pahalgam bulan lalu.

“Kadang-kadang paras air Sungai Chenab tinggi, tetapi kebelakangan ini sangat rendah, menjadikan sungai seakan kering. Tindakan ini sebagai amaran keras kepada Pakistan,” katanya.

Seorang lagi penduduk turut menegaskan kesediaan penduduk dan kerajaan India untuk berdepan sebarang provokasi.

“Anda boleh lihat sendiri keadaan Chenab sekarang. Kadang-kadang langsung kering. Ini mesej jelas kepada Pakistan, kalau mereka teruskan tindakan kejam mereka, kami bersedia untuk melawan,” ujarnya.

Sebelum ini, kerajaan India telah menutup Empangan Baglihar di Sungai Chenab dan turut merancang langkah serupa ke atas Empangan Kishanganga yang terletak di Sungai Jhelum.

Sungai Chenab dan Jhelum merupakan dua daripada tiga sungai barat yang diperuntukkan kepada Pakistan di bawah Perjanjian Air Indus 1960, yang melarang sebarang perubahan terhadap aliran air yang boleh menjejaskan akses bekalan air negara tersebut.

Ketegangan antara kedua-dua negara semakin memuncak sejak insiden tembakan rambang oleh sekumpulan lelaki bersenjata ke arah pelancong Hindu di Pahalgam yang mengorbankan sekurang-kurangnya 26 orang dan mencederakan 17 yang lain.

Sebagai tindak balas, India mengambil beberapa langkah tegas terhadap Pakistan termasuk menurunkan taraf hubungan diplomatik, menutup sempadan Wagah-Attari dan menggantung Perjanjian Air Indus.

Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif bagaimanapun menafikan sebarang penglibatan dan menyifatkan serangan itu sebagai 'berpunca dari dalam' India sendiri. Islamabad turut mengumumkan tindakan balas terhadap New Delhi.-IVORY

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE