AYER KEROH, 7 Mei – Sepasang suami isteri direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penderaan terhadap bayi lelaki mereka yang kini berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU), Hospital Melaka.
Perintah reman sehingga 13 Mei itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Ayer Keroh, Haderiah Siri terhadap kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 22 tahun, bagi siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Terdahulu, pasangan itu tiba di perkarangan Mahkamah Ayer Keroh sekitar pukul 9.15 pagi dengan diiringi anggota polis.
Semalam media melaporkan, bayi lelaki berusia dua bulan itu dibawa ke Hospital Alor Gajah pada Isnin lalu oleh ibu kandungnya dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum dirujuk ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
Suspek wanita mendakwa anaknya mengalami sawan sebelum meninggalkannya di hospital sejak pukul 1 pagi tanpa sebarang pemantauan.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati bayi tersebut mengalami pendarahan lama dan baru di dalam kepala, selain kesan lebam serta luka di badan dan leher yang disyaki akibat penderaan.
Pasangan berkenaan ditahan pada pukul 6.30 petang semalam oleh sepasukan polis selepas laporan dibuat oleh pihak Hospital Melaka berhubung keadaan mangsa.