RAWALPINDI, 7 Mei- Lima jet pejuang India ditembak jatuh selepas negara itu melancarkan serangan ke atas Pakistan pada Rabu, menurut kenyataan tentera Pakistan.
Jurucakap tentera, Leftenan Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry, memberitahu Reuters pesawat yang ditembak jatuh termasuk tiga jet Rafale, satu SU-30, satu MiG-29, serta satu dron Heron, dan insiden itu berlaku di ruang udara India, kawasan yang dipertikai India dan Pakistan.
Apabila ditanya mengapa Pakistan tidak sempat memintas serangan India, Chaudhry berkata beliau tidak dapat mendedahkan butiran operasi atas faktor keselamatan.
Serangan oleh India itu menyasarkan kawasan Pakistan dan wilayah yang dikawal Pakistan di Kashmir.
Tindakan itu menyusul selepas serangan bulan lalu ke atas pelancong Hindu di Kashmir yang ditadbir India, menyebabkan 26 orang terbunuh.
India menuduh militan berpangkalan di Pakistan bertanggungjawab, namun Pakistan menafikan sebarang penglibatan.-REUTERS