fb fb fb fb fb

Kardinal seluruh dunia berkumpul di Vatican pilih Paus baharu

FOTO REUTERS

VATICAN CITY, 7 Mei- Seramai 133 kardinal dari 70 negara telah memasuki Gereja Sistine hari ini bagi memulakan konklaf rahsia untuk memilih Paus ke-267, menggantikan mendiang Paus Francis yang meninggal dunia pada 21 April lalu pada usia 88 tahun akibat strok dan kegagalan jantung.
New York Post

Konklaf itu, yang terbesar dalam sejarah Gereja Katolik, bermula dengan bacaan doa di Basilika St. Peter yang dipimpin oleh Dekan Kolej Kardinal, Giovanni Battista Re.

Selepas itu, para kardinal berarak ke Gereja Sistine, menyanyikan "Veni, Creator Spiritus" dan mengangkat sumpah kerahsiaan. Mereka akan mengundi dua kali sehingga seorang calon memperoleh majoriti dua pertiga.

Antara calon utama yang disebut-sebut termasuk Kardinal Pietro Parolin dari Itali, Kardinal Luis Antonio Tagle dari Filipina, Kardinal Robert Prevost dari Amerika Syarikat dan Kardinal Peter Erdo dari Hungary.

Pemilihan itu dijangka mencerminkan sama ada kesinambungan atau perubahan daripada pendekatan progresif Paus Francis.

Keselamatan konklaf diketatkan dengan penggunaan pengacau isyarat elektronik (jammer) dan larangan penggunaan telefon bimbit bagi memastikan kerahsiaan proses pengundian.

Asap hitam akan menandakan tiada keputusan dicapai, manakala asap putih dan bunyi loceng akan mengumumkan pemilihan Paus baharu.

Umat Katolik di seluruh dunia kini menantikan detik bersejarah ini yang akan menentukan hala tuju Gereja Katolik dalam menghadapi cabaran global masa kini.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE