fb fb fb fb fb

Penduduk Palestin terus dikepung, dua wanita Palestin mati ditembak

(Operasi tentera Israel di bandar Jenin, pada 12 April 2022 kawasan
Tebing Barat yang diduduki Israel/AFP)

JENIN, 12 April- Tentera Israel terus mengepung penduduk Palestin di bandar Jenin, Tebing Barat selepas kejadian seorang warga Palestin mencederakan polis Israel sebelum dia ditembak mati.

Operasi yang masuk hari ke-4 itu turut dilakukan atas alasan seorang penduduk dari daerah itu didakwa telah menyebabkan kematian tiga warga Yahudi di Tel Aviv pada minggu lalu.

Menurut agensi berita rasmi Palestin, Wafa “pertempuran meletus” antara pemuda Palestin dan askar Israel yang bertindak melepaskan tembakan peluru hidup, bom tangan dan gas pemedih mata ke arah penduduk Palestin.

Tentera rejim turut menahan empat penduduk Palestin di Jenin dan kawasan berhampiran di perkampungan al-Yamoun.

AFP melaporkan, tentera Israel enggan memberi sebarang jawapan apabila ditanya mengenai operasi itu.


(Penduduk Palestin mengusung jenazah Muhammad Zakarneh, 17 untuk dikebumikan.
Allahyarham meninggal dunia akibat cedera parah dalam serbuan tentera Israel di Jenin, Tebing Barat/AFP)

Terdahulu dalam perkembangan berkaitan tentera Israel telah menembak mati dua wanita Palestin selepas Perdana Menteri, Naftali Bennett mengeluarkan kenyataan menyeru supaya pihak berkuasa melakukan ‘serangan’ terhadap penduduk Islam.

Mangsa pertama melibatkan seorang wanita tidak bersenjata, berumur 45 tahun. Kejadian berlaku di bandar Husan, barat Bethlehem manakala mangsa kedua dibunuh dalam kejadian di bandar Hebron.

Ini bukan siri keganasan terbaru tentera rejim kerana setiap kali Ramadan pasti ada keganasan tercetus di kawasan penduduk Islam Palestin, termasuk di Tebing Barat.

Berdasarkan data dikemas kini AFP, sejak tiga minggu lalu tentera Israel telah membunuh 15 penduduk dan pejuang Palestin.

Dalam tempoh itu juga, tentera dan polis Israel telah meningkatkan operasi atas alasan gelombang keganasan yang semakin meningkat, menyaksikan empat serangan tembakan, tikam dan rempuh kereta yang menyebabkan 14 orang terbunuh.

Tahun lalu, ketegangan di Baitulmaqdis telah mencetuskan perang selama 11 hari antara tentera rejim Israel dengan kumpulan pejuang Hamas yang mentadbir Semenanjung Gaza. –AFP

 

 

 

Media Baharu