fb fb fb fb fb

Kiev berkas sekutu Ukraine Putin

(Viktor Medvedchuk dalam keadaan bergari dan berpakaian seragam tentera/Instagram Volodymyr Zelenskiy/AFP)

KIEV, 13 April - Pihak berkuasa Ukraine mengumumkan mereka telah menangkap seorang hartawan pro-Kremlin yang melarikan diri daripada tahanan rumah selepas pencerobohan Rusia.

Presiden Volodymyr Zelensky menyiarkan gambar dalam talian Viktor Medvedchuk yang kelihatan kusut masai dengan tangan diikat dan berpakaian seragam tentera Ukraine.

"Satu operasi khas telah dijalankan oleh Perkhidmatan Keselamatan Ukraine. Syabas!" tulis Zelensky di Telegram.

Ketua agensi keselamatan, Ivan Bakanov berkata ejen telah menjalankan "operasi berbilang peringkat sepantas kilat dan berbahaya untuk menahan" ahli parlimen yang mesra Rusia itu.

"Tiada pengkhianat yang akan terlepas daripada hukuman dan semua akan bertanggungjawab bawah undang-undang Ukraine," katanya dalam satu kenyataan di Telegram.

(Viktor Medvedchuk di Kiev pada Mei 2021/Reuters

Medvedchuk, salah seorang hartawan terkaya di Ukraine, adalah tokoh yang sangat kontroversial kerana hubungan rapatnya dengan Moscow.

Taikun perniagaan berusia 67 tahun itu menganggap Presiden Rusia Vladimir Putin antara rakan rapatnya dan berkata pemimpin Kremlin itu adalah bapa baptis kepada anak bongsunya, Darya.

Beliau diletak bawah tahanan rumah sejak tahun lalu atas tuduhan mengkhianati negara kerana cuba mencuri sumber asli dari Crimea dan menyerahkan rahsia ketenteraan Ukraine kepada Moscow.

Medvedchuk dilapor melarikan diri sejurus selepas Putin melancarkan serangan terhadap Ukraine pada 24 Februari. -AFP

Media Baharu