fb fb fb fb fb

Penduduk Gaza terus jadi korban Israel

Foto WAFA

GAZA, 8 April- Beberapa orang awam terbunuh dalam tembakan Israel yang menyasarkan beberapa kawasan di kem pelarian Nuseirat dan bandar Rafah di Gaza, semalam.

Memetik agensi berita Palestin (WAFA), sumber perubatan melaporkan bahawa enam orang awam terbunuh manakala beberapa orang lagi cedera dalam serbuan udara Israel yang menyasarkan kemudahan komersial di Menara Ain Jalut, selatan kem Nuseirat di tengah Gaza.

"Di selatan Rafah, pesawat Israel membedil sekumpulan orang awam di bandar Nasr, utara Rafah, sekali gus menyebabkan seorang terbunuh manakala beberapa yang lain cedera.

"Enam mayat juga ditemukan dari bawah runtuhan rumah yang dibom Israel di timur kejiranan Shuja'iyya, Gaza.

"Beberapa orang awam masih terperangkap di bawah runtuhan," katanya kepada WAFA.

Menurut sumber perubatan, jumlah penduduk Palestin yang terbunuh sejak konflik Israel-Hamas bermula 7 Oktober lalu telah meningkat kepada 33,175 orang, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM