fb fb fb fb fb

Britain kerah kapal Tentera Laut hantar bantuan ke Gaza

Gambar fail sebuah helikopter Sea King Tentera Laut British/Foto AFP

LONDON, 7 April - Sebuah kapal Tentera Laut Diraja akan menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza pada awal Mei ini, menurut Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan UK.

Kerajaan British berkata ia sebahagian daripada usaha pihak antarabangsa untuk mewujudkan satu koridor maritim kemanusiaan hasil pakej sokongan tentera dan orang awam mengenai keadaan yang meruncing dan risiko kebuluran di Semenanjung Gaza.

Usaha misi kemanusiaan itu melibatkan Amerika Syarikat, Cyprus dan rakan kongsi lain yang akan mewujudkan jeti sementara baharu di luar pantai Gaza, kata Menteri Luar Britain David Cameron.

"Keadaan di Gaza meruncing dan kemungkinan kebuluran benar-benar berlaku. Kami komited untuk memberikan bantuan kepada mereka yang sangat memerlukannya," kata Cameron dalam satu kenyataan.

Kementerian Luar telah memperuntukkan sehingga £9.7 juta (US$12.2 juta) untuk penyampaian bantuan termasuk kepakaran logistik dan sokongan peralatan kepada koridor berkenaan, menurut laporan itu.

Inisiatif tersebut akan menyaksikan bantuan kemanusiaan diperiksa di Cyprus dan dihantar ke Gaza, melalui jeti sementara AS baharu yang dibina di luar pantai atau melalui Pelabuhan Ashdod selepas Israel bersetuju untuk membukanya, kata Kementerian Luar.

Menteri Pertahanan Britain, Grant Shapps berkata, jeti sementara baharu di pantai Gaza akan menempatkan kapal kargo untuk menghantar bantuan melalui laut.

Kerajaan Britain menyatakan pasukan tenteranya bekerjasama dengan pasukan perancangan di ibu pejabat operasi di Tampa, Florida, serta Cyprus selama beberapa minggu untuk merancang laluan maritim paling selamat dan berkesan.

Minggu lalu, tujuh pekerja bantuan World Kitchen Central (WKC) terbunuh termasuk tiga warga Britain, dalam serangan udara Israel di Gaza.

Serangan itu menimbulkan kemarahan global dan menyebabkan pemecatan dua pegawai tentera Israel. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN