GAZA, 8 April- Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) menyuarakan kebimbangannya berhubung krisis kemanusiaan yang semakin teruk di Gaza.
Setiausaha Agung IFRC, Jagan Chapagain menggesa agar situasi itu diubah.
"IFRC menyeru akses tanpa halangan untuk bantuan ke Gaza, perlindungan orang awam, pekerja kemanusiaan, pekerja penjagaan kesihatan dan kemudahan mereka.
"Sejak konflik berlaku, IFRC telah kehilangan 18 ahli.
"Keadaan di Gaza semakin teruk selepas konflik Hamas-Israel bermula 7 Oktober tahun lalu," katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Sementara menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan berterusan Israel terhadap Palestin telah meragut 33,175 nyawa.
Jelas kementerian itu, dalam tempoh 24 jam lalu, tentera Israel membunuh 38 rakyat Palestin dan mencederakan 71 yang lain.- REUTERS