GAZA, 10 Oktober - Ribuan penduduk Palestin mula kembali ke rumah mereka yang ditinggalkan selepas gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa dan tentera Israel mula menarik diri dari beberapa bahagian Gaza.
Satu barisan panjang penduduk Gaza dilihat berpindah dan bergerak ke utara di jalan pesisir menuju ke Gaza City, kawasan bandar terbesar di enklaf tersebut yang telah diserang beberapa hari lalu dalam salah satu serangan terbesar Israel.
Dalam tempoh 72 jam selepas penarikan semula tentera, kesemua 48 tebusan akan dibebaskan dari Jalur Gaza dan diserahkan kepada pasukan keselamatan Israel, menurut perjanjian tersebut.
Selepas tebusan dibebaskan, Israel akan membebaskan 250 banduan keselamatan dan tahanan dari penjara mereka, serta 1,700 penduduk Palestin dan 22 kanak-kanak Palestin yang tidak terlibat dalam serangan 7 Oktober 2023 ke atas Israel dan yang ditangkap di Gaza semasa perang.
Fasa pertama, inisiatif Presiden AS Donald Trump untuk menamatkan perang dua tahun di Gaza dengan menghendaki pasukan Israel menarik diri dari beberapa kawasan bandar utama Gaza, walaupun mereka masih menguasai kira-kira separuh daripada wilayah itu.
Setelah perjanjian ini dilaksanakan, lori bantuan kemanusiaan dibenar memasuki Gaza untuk membantu ratusan ribu orang awam yang berlindung di khemah selepas tentera Zionis memusnahkan kediaman penduduk dan meratakan bandar-bandar utama di Gaza. - REUTERS